Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha kerajaan bantu OKU berdikari

    Oleh Soon Li Wei

    USAHA kerajaan meminda peraturan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi orang kelainan upaya (OKU) berdaftar sebagai pemandu perkhidmatan e-hailing akan membuka peluang kepada golongan itu untuk hidup berdikari.

    Usaha itu merupakan antara yang dirancang oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi meringankan beban kos sara hidup golongan itu, selain turut dilihat sebagai satu pengiktirafan keupayaan golongan OKU memberi sumbangan kepada masyarakat.

    Ia juga bagi memastikan golongan OKU tidak tersisih dalam kemajuan negara dan masyarakat, malah dalam masa sama dapat memperkasakan sumbangan mereka dalam sektor pertumbuhan ekonomi negara.

    Pengerusi Malaysia Independent Living Association for Disabled (MILAD), Esther Lim berkata perubahan yang dilakukan oleh kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan membolehkan golongan OKU mengusahakan mata pencarian sendiri.

    Katanya sebelum ini OKU tidak dibenarkan untuk mendapatkan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) adalah kerana kecacatan fizikal, mental, intelektual atau deria jangka panjang yang menyebabkan wujudnya stigma masyarakat terhadap mereka.

    Usaha itu merupakan antara yang dirancang oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi meringankan beban kos sara hidup golongan itu. – Agensi
    Sebelum ini OKU tidak dibenarkan untuk mendapatkan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) adalah kerana kecacatan fizikal, mental, intelektual atau deria jangka panjang yang menyebabkan wujudnya stigma masyarakat terhadap mereka. – Agensi

    Terdapat sekitar 400 pemandu OKU e-hailing dan pindaan syarat itu perlu bagi membolehkan mereka bekerja dan mendapat pendapatan sendiri. – Agensi

    Mengikut kelayakan dan prosedur

    “Mereka mungkin dilihat tidak berupaya untuk menjadi pemandu ‘e-hailing’ kerana kekurangan pada fizikal mereka serta perlu melalui proses saringan yang mana ukuran pada badan menjadi halangan. Namun, ramai yang sebenarnya telah memandu selama lebih 20 tahun dan mendapat lesen memandu tetapi dengan keizinan doktor menerusi laporan kesihatan,” katanya kepada Bernama.

    Baru-baru ini, Kementerian Pengangkutan mengesahkan syarat kelayakan permohonan lesen PSV akan dipinda untuk membenarkan golongan OKU menjadi pemandu e-hailing, susulan peraturan baharu semua pemandu perkhidmatan e-hailing mesti membuat pendaftaran lesen PSV seperti pemandu teksi lain, bermula 12 Julai ini.

    Menterinya Anthony Loke berkata ketika ini terdapat sekitar 400 pemandu OKU e-hailing dan pindaan syarat itu perlu bagi membolehkan mereka bekerja dan mendapat pendapatan sendiri.

    Bagi Anggota Dewan Negara mewakili OKU Senator Bathmavathi Krishnan, usaha itu sebagai titik permulaan untuk menghapuskan stigma masyarakat terhadap OKU yang sering dianggap tidak boleh berdikari kerana kekurangan dalam diri mereka.

    “Setiap OKU juga ingin berjaya dalam hidup dan berdikari, cuma penerimaan masyarakat itu kadangkala membuatkan mereka kurang keyakinan malah ada dalam kalangan mereka tidak mahu berkomunikasi dengan orang kerana mendakwa mereka dipandang rendah.

    Banyak peluang pekerjaan

    “Dengan pembukaan pendaftaran PSV untuk golongan OKU, ia sekali gus dapat membuka lebih banyak pilihan pekerjaan kepada mereka dan lebih yakin untuk berhadapan dengan masyarakat kerana usaha itu sebagai pengiktirafan keupayaan mereka,” katanya.

    Bathmavathi turut mencadangkan agar kemudahan untuk OKU bagi pengambilan lesen PSV dapat disediakan dan kelonggaran dapat diberikan kepada mereka berdasarkan keupayaan mereka.

    “Contohnya, ujian bertulis, pihak JPJ boleh mengendalikan ‘oral test’ kepada golongan cacat fizikal kerana mungkin tempat ujian itu terletak jauh yang menyukarkan pergerakan mereka ataupun menyediakan alternatif kepada golongan ini untuk menjalankan ujian,” katanya.

    Pengasas Aplikasi E-Hailing MyCar Mohd Noah Maideen berkata ia merupakan satu pembaharuan dalam industri e-hailing sekali gus mewujudkan diversiti antara pemandu biasa dengan pemandu OKU.

    “Cumanya kami perlu diberi taklimat ataupun pemahaman secara lebih mendalam tentang perkara ini memandangkan ia sesuatu yang baharu dan melibatkan golongan OKU yang memerlukan ‘adjustment’ (pelarasan) berdasarkan keperluan mereka.

    “Selain itu, pengambilan lesen PSV serta pendaftaran e-hailing kepada JPJ perlu diberi tempoh lebih daripada tiga bulan kerana buat masa sekarang syarikat-syarikat e-hailing dan pemandu masih tidak memahami sepenuhnya keputusan kerajaan itu,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda