Saturday, September 23, 2023
30 C
Brunei

    -

    Usaha kolektif ASEAN dan China perlu fokus keamanan, kestabilan, kemakmuran – PM Malaysia

    NANNING, 17 SEPT – Usaha kolektif ASEAN dan China mesti memberi tumpuan kepada keamanan serantau, kestabilan, kemakmuran, dan memupuk hubungan perdagangan dua hala dan pelbagai hala, kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Ini perlu dalam menghadapi cabaran pasca wabak, ketegangan geopolitik, dan pelbagai faktor ketidakstabilan lain,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan Malaysia.

    Beliau berkata ASEAN akan kekal sebagai salah satu wilayah yang paling pesat berkembang pada 2023, dan adalah penting bagi ASEAN dan China untuk mempelbagaikan strategi perdagangan dan pelaburan mereka semasa dunia semakin maju.

    “Walaupun menghadapi cabaran ekonomi global, ASEAN kekal sebagai destinasi menarik bagi pelaburan antarabangsa, mencatat pertumbuhan ekonomi 5.5 peratus pada 2022, dengan 4.6 peratus (pertumbuhan) diunjurkan untuk 2023.

    “Trajektori ini meletakkan ASEAN jauh di atas purata global, sebagaimana yang diunjurkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 3.5 peratus untuk 2022, dan tiga peratus bagi 2023 dan 2024,” katanya dalam ucapan perasmiannya Ekspo China-ASEAN ke-20 (CAEXPO) 2023 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) di Nanning, hari ini.

    Di awal ucapannya, PM malaysia sempat menyampaikan ucap selamat kepada para hadirin dengan menggunakan bahasa Cina dengan kata-kata berbunyi ‘ge wei lai bin da jia hao’.

    Anwar turut menggesa ASEAN dan China mempergiatkan kerjasama dalam ekonomi digital bagi memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) untuk berkembang maju dalam era digital ini.

    Beliau berkata PKS menyumbang 85 peratus kepada peluang pekerjaan, 44.8 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan 18 peratus kepada eksport negara dalam negara-negara ASEAN.

    “Oleh itu, peranan mereka dalam menyumbang kepada aktiviti nilai tambah, inovasi dan pertumbuhan inklusif tidak boleh diperkecilkan,” katanya.

    Merujuk kepada Rangka Kerja Pemulihan Ekonomi ASEAN, beliau berkata rangka kerja itu menggariskan kepentingan ketersambungan rantaian bekalan tanpa gangguan, di samping memudahkan penyaluran barangan serta perkhidmatan penting dengan menghapuskan halangan perdagangan.

    “Dengan infrastruktur yang mantap, saya yakin aktiviti perdagangan yang berterusan akan menjadi lancar, sekali gus menyumbang kepada pemulihan ekonomi serantau,” katanya.

    Mengenai inisiatif Jalur dan Laluan China (BRI), Anwar berkata Malaysia sebagai penyokong awal, membayangkan inisiatif ini boleh menjadi pintu masuk kepada suatu ketersambungan baharu, dan peluang pertumbuhan merentasi Asia Tenggara, Asia Pasifik, Afrika, serta Eropah Tengah dan Timur.

    Dengan merujuk kepada Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan China-Malaysia Qinzhou Industrial Park (CMQIP) yang dibangunkan di bawah konsep “Dua Negara, Taman Berkembar”, Perdana Menteri berkata taman-taman itu adalah contoh projek-projek BRI yang boleh dibangunkan.

    “Kami amat menghargai sokongan tidak berbelah bahagi China, terutamanya dalam memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada kemakmuran bersama,” katanya.

    Mengenai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), beliau berkata ia adalah bukti komitmen ASEAN dan China terhadap integrasi ekonomi, memastikan daya tahan rantaian bekalan dan keterbukaan pasaran dalam menghadapi cabaran global.

    Menyentuh mengenai CAEXPO, Anwar berkata sepanjang 19 edisi CAEXPO yang lepas, syarikat Malaysia telah mencapai hasil yang membanggakan di pasaran China dan ASEAN.

    Beliau optimis CAEXPO akan terus berfungsi sebagai pemangkin untuk perniagaan Malaysia, memupuk kerjasama perdagangan, dan merangsang pemulihan ekonomi, kerana menurutnya platform ini bukan sahaja bertindak sebagai satu cara untuk melebarkan rangkaian perniagaan, tetapi juga sebagai hab untuk kerjasama inovatif dan usaha niaga keusahawanan. – Bernama

    Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Li Qiang bersalaman pada Mesyuarat Dua Hala di Rumah Tamu Liyuan selepas menghadiri Expo China – ASEAN (CAEXPO) 2023 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China – ASEAN (CABIS) hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih 30,000 orang dibawa ke hospital akibat strok haba

    TOKYO, 22 SEPT – Jepun pada Ogos menyaksikan sejumlah 34,835 individu dibawa ke hospital di seluruh negara dengan gejala strok haba, ketika negara itu...