TAWAU, 25 MEI – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) wajar mendapat pujian atas inisiatif proaktifnya dalam menyebarluaskan advokasi berkaitan gangguan seksual bagi meningkatkan kesedaran masyarakat termasuk di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata gangguan seksual boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina, umur, bangsa mahupun agama dan kebanyakan kes berkenaan dilakukan oleh pelaku terdekat dengan mangsa.
“Masih ramai mangsa takut melaporkan kejadian kerana tekanan sosial atau tidak tahu saluran untuk mendapatkan bantuan. Mangsa boleh memanfaatkan inisiatif diperkenalkan KPWKM iaitu Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS).
“TAGS menawarkan alternatif kos rendah dan pantas untuk menangani aduan gangguan seksual, kita semua bertanggungjawab mewujudkan persekitaran yang selamat dan menyokong mangsa untuk membela diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan penutupan program Kembara Kasih KPWKM 2025 dan penyerahan notis anti gangguan seksual di sini malam tadi, turut hadir pada program itu Timbalan Ketua Setiausaha Operasi KPWKM, Farah Adura Hamidi. – Bernama
