Monday, October 7, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha kurangkan jurang kemiskinan

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Ogos – Dalam usaha Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Peneraju Strategi Keharmonian Sosial Melalui Perpaduan Masyarakat di bawah Wawasan 2035, kualiti kehidupan masyarakat yang bersepadu dan berdaya tahan menjadi keutamaannya.

    Salah satu daripada isu kemasyarakatan serius yang memerlukan perhatian ialah kemiskinan dan isu sosial.

    Berdasarkan perangkaan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) jumlah pemohon bantuan kerajaan sama ada melalui Bantuan Kebajikan Bulanan (BKB) yang ditadbir JAPEM dan permohonan bantuan kumpulan zakat MUIB semakin meningkat kebelakangan ini.

    Perkara itu disentuh oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong pada sesi kedua Muzakarah Bersama Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung Daerah Brunei dan Muara di Dewan Teater, Jabatan Daerah Brunei dan Muara hari ini.

    Sehubungan itu, Yang Berhormat Pehin mencadangkan Program Satu Kampung Satu Keluarga dilaksanakan di setiap kampung bagi membantu mengurangkan jurang kemiskinan ini dengan mengenal pasti keluarga yang memerlukan bantuan atau dalam kesusahan untuk dipantau dan diberikan bantuan bersesuaian termasuklah sokongan moral.

    Yang Berhormat Pehin Haji  Awang Abu Bakar semasa berucap pada sesi muzakarah tersebut.
    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar semasa berucap pada sesi muzakarah tersebut.

    Yang Berhormat Pehin mencadangkan program itu dilaksanakan melalui jabatan-jabatan daerah dan mengalu-alukan penglibatan sukarelawan dalam mengungkayahkan inisiatif ini.

    Untuk itu, Yang Berhormat Pehin turut menyeru pemimpin akar umbi terdiri daripada penghulu-penghulu dan ketua kampung agar memberikan kerjasama padu dalam menggerakkan program ini dan rancangan-rancangan yang dicadangkan dan dibincangkan dalam muzakarah sesi kedua ini untuk mencapai Key Performance Indicator bagi strategi ini.

    Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin juga menekankan mengenai sambutan kenegaraan yang akan diraikan tidak lama lagi, besar signifikannya iaitu Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.

    “Saya sukacita memohon penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung agar dapat menggerakkan anak buah untuk mengambil peranan melibatkan diri secara aktif dalam rancangan-rancangan yang diungkayahkan,” kata Yang Berhormat Pehin.

    Beliau turut mengimbas sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Penaung Jawatankuasa Penasihat Sambutan Jubli Emas KDYMM, yang antaranya menekankan kesepakatan dan komitmen semua pihak agar sambutan Jubli Emas tersebut menjadi wadah memantapkan lagi keharmonian bernegara melalui jalinan akrab antara raja dan rakyat jelata.

    Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, Duli Yang Teramat Mulia juga bersabda menegaskan agar sambutan diadakan dalam kesederhanaan dan menitikberatkan aspek-aspek menjurus kepada mengangkat Adat Istiadat Diraja Brunei. Lebih penting lagi, ianya adalah sebagai simbol yang jelas kepada pencapaian-pencapaian bermakna kepada negara serta rakyat dan penduduknya di sepanjang pemerintahan Baginda Sultan.

    Bagi menzahirkan taat setia tidak berbelah bahagi ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ini, Yang Berhormat Pehin mengatakan adalah wajar sebagai rakyat dan penduduk di bawah pemerintahan 50 tahun Baginda Sultan yang berkembang maju, bersyukur dan mendoakan ke hadrat Allah S.W.T agar Baginda dilanjutkan usia, sihat walafiat dengan terus kekal karar memerintah Negara.

    Selain itu, penyertaan rakyat dan penduduk dalam acara sempena Jubli Emas ini hendaklah tulus ikhlas, paling minimum pun, mengibarkan bendera-bendera negara di rumah masing-masing apabila diperlukan, menghadiri acara perbarisan raksasa Baginda Sultan mengelilingi Bandar Seri Begawan pada 5 Oktober kelak dan menghadiri serta menyertai acara junjung kasih dan kesyukuran rakyat dan penduduk daerah-daerah, tambahnya.

    Yang Berhormat Pehin juga menyeru generasi yang berkesempatan menyaksikan peristiwa bersejarah Sambutan Hari kemerdekaan Negara pada 1 Januari 1984 dan Sambutan Jubli Perak KDYMM Menaiki Takhta pada 5 Oktober 1992, membawa generasi baru, para belia dan seluruh lapisan rakyat agar memberi kesedaran kepada mereka betapa penting dan mustahaknya menjayakan apa jua rancangan sambutan Jubli Emas ini, sekali gus dapat menghidupkan semangat, membakar semangat patriotik dan mengangkat semangat jati diri mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda