Sunday, October 6, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha kurangkan stigma kesihatan mental

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Usaha terus dilaksanakan untuk mengurangkan stigma, serta pandangan negatif terhadap kesihatan mental di tempat kerja khususnya dalam kalangan warga perkhidmatan awam.

    Dalam hubungan itu, Kementerian Kesihatan sekali lagi telah mengadakan Jerayawara Kesihatan Mental dan Kesejahteraan di Tempat Kerja – Satu Hak Asasi yang kali ini diadakan di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan dihadiri kira-kira 140 orang pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, di sini, jerayawara berkenaan merupakan kesinambungan jerayawara ke kementerian-kementerian bersempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2023 di mana setakat ini, ia telah diadakan di sembilan buah kementerian yang lain, dan berlangsung pada setiap bulan bermula Oktober 2023.

    Jerayawara itu dihadiri oleh Pemangku Pengarah Pengurusan dan Kewangan, Awang Ajmin bin Haji Meluddin dengan ucapan alu-aluan disampaikan Ketua Perkhidmatan Psikologi, Kementerian Kesihatan, Dayang Hani Haryana binti Haji Maidin.

    Semasa jerayawara itu, dua pengongsian ilmu berkaitan dengan kesihatan mental telah disampaikan oleh dua orang ahli panel profesional iaitu Dr Dayangku Raidah Hayati binti Pengiran Dr Haji Mohamed dari Jabatan Psikiatri, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Kementerian Kesihatan dan Ketua Bahagian Kaunseling dan Kefahaman Agama (KAFA), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid.

    Jerayawara tersebut merupakan kerjasama antara Kementerian Kesihatan, KHEU dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta dikendalikan bersama dengan sokongan padu daripada Program WAH, Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Clarity Sdn Bhd dan Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei Darussalam yang sama-sama mengungkayahkan pameran pada acara itu.

    Jerayawara bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, pencegahan dan pengurusan kesihatan mental serta membarigakan kepentingan penjagaan kesejahteraan diri.

    Ia juga berhasrat untuk mengurangkan stigma serta pandangan negatif terhadap kesihatan mental di tempat kerja khususnya di kalangan warga perkhidmatan awam.

    Pegawai dan kakitangan KSSUP menyaksikan pameran yang turut diadakan semasa jerayawara kesihatan mental di kementerian berkenaan. – GAMBAR SERAHAN PUSAT PROMOSI KESIHATAN
    GAMBAR SERAHAN PUSAT PROMOSI KESIHATAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda