YANGON, 29 APRIL – Pihak berkuasa Myanmar sekali lagi gagal melelong rumah agam di tepi tasik milik Aung San Suu Kyi hari ini – menjadikan ini kali keempat hartanah milik penerima Hadiah Nobel Keamanan yang dipenjarakan itu tidak menarik sebarang pembida.
Seorang pelelong yang dilantik mahkamah muncul dari pintu pagar berkarat rumah dua tingkat yang terletak di Jalan University Avenue yang penuh pepohon di Yangon, menawarkan harga permulaan diskaun sebanyak AS$128 juta.
Disaksikan oleh sekumpulan wartawan dan kira-kira belasan anggota polis, pelelong itu membuat panggilan kepada pembida sebanyak tiga kali sebelum mengisytiharkan, “Kami dengan ini mengumumkan bahawa lelongan ini tidak berjaya.”
Suu Kyi telah dipenjarakan sejak digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada tahun 2021, namun beliau pernah menghabiskan bertahun-tahun dalam tahanan rumah di hartanah bersejarah itu semasa pemerintahan junta terdahulu.
Selepas pertikaian undang-undang yang panjang, abang kandung Suu Kyi yang telah lama terpisah mendapat hak ke atas separuh vila tersebut. Penjualannya kini diawasi oleh pegawai yang dilantik junta, manakala Suu Kyi berhak ke atas separuh hasil jualan.

Semasa berada dalam tahanan rumah di No. 54, Jalan University Avenue, Suu Kyi sering berucap dari pagar sempadan rumah – menarik ratusan orang dengan retorik tinggi mengenai demokrasi dan penentangan tanpa keganasan.
Eksperimen demokrasi selama satu dekad di Myanmar menyaksikan Suu Kyi menjadi pemimpin pilihan rakyat selepas dibebaskan pada tahun 2010, dan rumah era penjajahan itu menjadi pusat pentadbiran kerajaan awam yang baru ditubuhkan.
Ketika Myanmar mula pulih daripada status negara terpinggir, rumah tersebut menyaksikan kunjungan bersejarah daripada pemimpin asing termasuk Barack Obama dan Hillary Clinton.
Sejak kuasa dirampas semula oleh tentera, Suu Kyi telah dipenjarakan di ibu negara Naypyidaw atas pelbagai tuduhan yang dikritik hebat sebagai rekaan semata-mata untuk menyingkirkannya daripada arena politik.
Ejen hartanah mengatakan rumah-rumah bersaiz serupa di kawasan elit Yangon biasanya bernilai antara AS$1 juta hingga AS$2 juta sahaja. – AFP