Saturday, April 20, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Usaha lestari permainan tradisi Brunei

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Azlan Othman

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Sebagai salah satu usaha untuk melestarikan permainan tradisi Brunei, Jabatan Muzium-muzium telah mengadakan Festival Permainan Tradisi sempena Sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2023 di Hab Tenaga Brunei, Dermaga Diraja, di ibu negara, hari ini.

    Hadir menyempurnakan pelancaran festival itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Dengan tema ‘Melestarikan Permainan Tradisi Kitani’, festival tersebut diharap dapat memberi impak positif dalam memperkukuhkan, memelihara dan memulihara warisan budaya dan identiti Negara Brunei Darussalam yang unik.

    Sementara itu, Pemangku Pengarah Muzium-muzium, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus, ketika menyampaikan ucapan berkata, Festival Permainan Tradisi itu merupakan salah satu inisiatif Jabatan Muzium-muzium untuk mendidik dan membarigakan kepada orang ramai khususnya generasi muda mengenai kepentingan peninggalan warisan khazanah bangsa kita.

    Festival tersebut bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai teras keBruneian kepada orang ramai supaya identiti kitani akan sentiasa dijaga dan mengalir ke dalam hidup masyarakat di negara ini.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi semasa menyampaikan sijil penghargaan kepada Awang Hirdan bin Haji Abdul Latif atas sumbangan pingat sukan para.
    Pasang bersaiz gergasi yang dipamerkan semasa festival tersebut.
    Pelbagai jenis gasing yang dipamerkan semasa festival tersebut.

    Beliau juga menambah, Negara Brunei Darussalam kaya dengan warisan budaya yang unik dan menarik, dalam hubungan itu, Jabatan Muzium-muzium akan terus memainkan peranan aktif dalam memelihara warisan budaya tersebut.

    Salah satu program jabatan itu, program ‘Muziumku Warisanku’, berfungsi sebagai platform untuk mendidik orang ramai, terutamanya generasi muda tentang warisan budaya Brunei yang unik, termasuk permainan tradisional.

    Beliau turut memaklumkan pada tahun 2017 hingga 2022, seramai 18,779 orang telah menyertai program itu dan menjadi harapan jabatan agar program tersebut akan terus memenuhi objektifnya iaitu untuk memberikan pendidikan yang tidak ternilai harganya kepada masyarakat.

    Festival berkenaan juga memperkenalkan permainan tradisi yang jarang dipraktikkan dan tidak diketahui oleh generasi baharu seperti pasang bersaiz gergasi, kereta kirikan benang, kuit, kayu tiga, gatah berturus, salok-salokan, gasing pelajau, rising, simban, main gajah dan kirut-kirut siding.

    Festival dimeriahkan dengan pameran, demonstrasi dan tunjuk ajar permainan tradisi, jualan produk kraf tangan dan seni dan jualan terbitan Jabatan Muzium-muzium.

    Turut menyerikan festival ialah penglibatan beberapa buah institusi swasta termasuk majlis perundingan kampung dan persatuan-persatuan termasuk Persatuan Kikik Negara Brunei Darussalam (PEKIKIK), Persatuan Gasing Kebangsaan (PERGAB), Persatuan Sepak Takraw Negara Brunei Darussalam (PESTABARU) dan jualan kraf tangan dari Jabatan Penjara, KHEDN.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...