Friday, November 15, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha libatkan sektor swasta terus diberi penekanan

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 FEB – Kerajaan akan terus memberikan penekanan terhadap usaha-usaha untuk mendukung kemajuan dan perkembangan serta mengukuhkan penglibatan sektor swasta bagi membentuk asas ekonomi negara yang lebih berdaya tahan dan berdaya maju.

    Usaha-usaha perlu menjurus kepada meningkatkan produktiviti negara dalam sektor ekonomi yang dikenal pasti dengan kerjasama peniaga-peniaga tempatan dan juga syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

    Ini meliputi penyediaan skim dan insentif, program latihan dan pembangunan kapasiti, ekosistem yang pro-perniagaan, prasarana serta penyediaan tapak-tapak bagi membantu perkembangan perniagaan-perniagaan tempatan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa membentangkan Kertas Cadangan Rang Undang-undang (2024) Perbekalan 2024/2025 pada hari ketiga Permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Yang Berhormat Dato berkata, usaha-usaha penambahbaikan dan meningkatkan sistem infrastruktur yang dapat menjana produktiviti bagi memacu pertumbuhan dan mempelbagaikan ekonomi ne-gara, kerajaan akan menyediakan beberapa peruntukan, antaranya harga rancangan sebanyak $80 juta di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-12 untuk penyediaan infrastruktur bagi peningkatan industri pertanian di seluruh negara – Fasa 2 untuk memastikan tapak tersedia bagi ditawarkan kepada pengusaha dan untuk mempercepatkan memulakan perusahaan dan mencapai sasaran hasil keluaran.

    Pelajar PTE Tutong hadir menyaksikan Persidangan MMN pada hari ketiga, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Selain itu, Yang Berhormat Dato berkata, kerajaan juga memberi keutamaan kepada usaha-usaha untuk mengembangkan sektor-sektor seperti pelancongan dan perdagangan antarabangsa yang boleh merangsang pernia-gaan tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan secara langsung kesejahteraan ekonomi keseluruhan masyarakat dan penduduk demi mendukung hasrat mempelbagaikan ekonomi dan seterusnya memperkukuhkan lagi sektor bukan minyak dan gas.

    Ke arah itu, beberapa peruntukan juga telah disediakan untuk mendukung hasrat tersebut termasuk usaha untuk mempromosikan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pilihan pelancong, kerajaan akan memperuntukkan harga rancangan sebanyak $36.4 juta secara keseluruhan bagi melaksanakan 10 projek di bawah RKN12 untuk menambahbaik lagi produk-produk pelancongan termasuk mengukuhkan infrastruktur asas dan kemudahan awam di tempat-tempat tarikan pelancong.

    Berkenaan penambahan kepada inisiatif-inisiatif di bawah Pelan Transformasi Digital, kerajaan juga menyediakan peruntukan bagi memperkembangkan infrastruktur rangkaian dan penyelesaian inovatif untuk membolehkan penduduk dapat berkomunikasi, mengakses perkhidmatan dalam talian dan mengambil bahagian dalam aktiviti perekonomian digital sama ada di peringkat global atau serantau.

    Ini termasuk menyediakan program-program peningkatan ka-pasiti bagi menggalakkan masya-rakat yang celik digital dan memperkasa pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat untuk menyesuaikan diri dengan perubahan landskap digital.

    Sementara itu, Yang Berhormat Dato turut berkata, dengan kerjasama antara pihak Darussalam Enterprise (DARe) dan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, pihak DARe telah memulakan eksport pertama produk makanan tempatan seperti keropok, minyak sayuran, sos cili, minuman berperisa, serbuk teh tarik dan biskut ke Mustafa Centre di Republik Singapura pada September 2023.

    Produk-produk yang terpilih adalah dari lima syarikat tempatan iaitu Ghanim International Sdn Bhd, Marimin Sdn Bhd, Sabli Food Industries (B) Sdn Bhd, Sahamada Corporation Sdn Bhd dan Taurean Bakeshop & Cafe.

    Selain itu, hasil daripada usaha sama tersebut juga telah menyaksikan penandatanganan memorandum persefahaman dan perjanjian melibatkan tiga buah syarikat tempatan dengan syarikat dari Sabah semasa Ekspo Antarabangsa Sabah pada September 2023.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda