Friday, October 18, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha mempelbagaikan kegunaan gabus

    MOZELOS – Portugal, pengeluar gabus terkemuka dunia, berusaha mencari kegunaan baharu untuk bahan itu, daripada kasut hinggalah perabot, apabila permintaan terhadap penyumbat botol wain semakin berkurangan.

    Para pengeluar menonjolkan sifat gabus yang mesra alam, ringan, boleh dikitar semula, kalis air dan tahan api, untuk menggalakkan penggunaannya dalam pelbagai kegunaan.

    Gabus diperoleh dengan melucutkan kulit pokok oak gabus setiap sembilan tahun melalui proses teliti yang membolehkan pokok itu tumbuh semula dan berkembang, menjadikan industri ini mampan secara semula jadi.

    Bahan itu mempunyai “jejak karbon negatif kerana ia berasal daripada pokok yang menangkap CO2 siang dan malam”, Antonio Rios de Amorim, ketua pegawai eksekutif pengeluar gabus terbesar dunia Corticeira Amorim, memberitahu AFP.

    Dorongan untuk mempelbagaikannya datang apabila jualan wain global merosot, mengurangkan permintaan untuk penyumbat wain gabus yang telah lama menghadapi persaingan daripada penyumbat plastik dan penutup skru yang lebih murah.

    Penyumbat gabus di kilang gabus Amorim di Mozelos, berhampiran Santa Maria da Feira, utara Portugal. Seorang pekerja. – AFP
    Gabus diperoleh dengan melucutkan kulit pokok oak gabus setiap sembilan tahun. – AFP
    Penuaian gabus dilakukan oleh seorang pekerja di sebuah ladang di Coruche, tengah Portugal. – AFP
    Kelihatan bakul yang diisi dengan penyumbat gabus. – AFP
    Papan gabus yang disusun menggunakan forklift di kilang gabus Amorim. – AFP

    “Tempoh kelembapan mesti digunakan untuk mempersoalkan apa yang kita lakukan,” kata Amorim, yang nenek moyangnya mengasaskan Corticeira Amorim 154 tahun lalu di perkampungan utara Mozelos, kira-kira 30 kilometer (18 batu) di selatan bandar kedua Porto.

    ROKET PENGGALAK, TEMPAT DUDUK METRO

    Disebabkan struktur seperti sel gabus, bahannya elastik dan sangat tidak telap, menjadikannya sesuai untuk membuat kasut serta tali leher, seluar dan pakaian lainnya.
    Pereka perabot juga semakin tertarik dengan bahan tersebut.

    Pereka British, Tom Dixon telah memanggilnya sebagai ‘bahan impian’ dan mengeluarkan pelbagai perabot gabus gelap yang termasuk meja, bangku dan rak menggunakan gabus dari Portugal.

    Metro Lisbon pada 2020 menggantikan lapisan fabrik pada semua tempat duduk armada kereta apinya dengan gabus, bahan yang lebih mudah diselenggara.

    Pembina telah tertarik kepada bahan itu kerana sifatnya yang unik yang menebat haba dan menyerap bunyi.

    Gabus juga sedang menemui jalannya ke angkasa lepas. Ia digunakan dalam salutan perlindungan haba pada roket penggalak kerana rintangannya “terhadap variasi suhu yang kuat”, kata Amorim.

    Membuat penyumbat botol wain, bagaimanapun, kekal sebagai aktiviti utama untuk industri gabus Portugal, yang menggaji kira-kira 8,000 orang.

    Corticeira Amorim menghasilkan kira-kira 6 bilion penyumbat botol wain gabus setiap tahun, hampir kesemuanya untuk dieksport terutamanya ke Chile, Perancis dan Amerika Syarikat.

    Ia menyumbang 70 peratus daripada bahagian pasaran global untuk penyumbat gabus dan mencatatkan jualan sebanyak 985 juta euro (AS$1 bilion) pada 2023, lebih rendah sedikit berbanding tahun sebelumnya.

    KAEDAH TRADISIONAL

    Gabus diperbuat daripada kulit kayu oak gabus (Quercus suber) yang terdapat di negara-negara lembangan Mediterranean.

    Portugal adalah rumah kepada kira-kira satu pertiga daripada jumlah kawasan dunia yang dikhususkan untuk pokok ini, lebih daripada negara lain, dan menyumbang hampir separuh daripada bekalan gabus dunia.

    Terdapat juga ladang di Perancis, Sepanyol, Itali, Algeria, Maghribi dan Tunisia.

    Di wilayah Ribatejo sekitar 80 kilometer timur Lisbon, pokok oak gabus terbentang sejauh mata memandang.

    Kulit kayu diambil pada musim panas menggunakan kaedah tradisional yang diwarisi dari generasi ke generasi.

    Ia adalah teknik yang sangat teliti “yang mengambil masa beberapa tahun untuk dipelajari”, kata Nelson Ferreira, penuai kulit gabus berusia 43 tahun, sambil menambah dia berhati-hati untuk tidak merosakkan pokok itu.

    Kulit kayu itu kemudiannya dibawa ke kilang Corticeira Amorim di utara Portugal di mana ia dirawat dengan wap, dipotong menjadi kepingan yang lebih kecil dan kemudian dimasukkan ke dalam mesin untuk membuat penyumbat.

    Pemuliharaan pokok oak gabus adalah penting untuk Portugal, yang telah menjadikannya spesies yang dilindungi kerana ia mengambil masa purata 40 tahun untuk sebatang pokok mula menghasilkan gabus yang boleh digunakan oleh pembuat gabus. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda