Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha menangani kepupusan lebah di Paris

    PARIS – Untuk memeriksa sarang lebah yang telah dipasang dan diletakkan di atas bumbung Monnaie de Paris yang luas di tebing Sungai Seine, Audric de Campeau kelihatan memasang peralatan keselamatan dan perlindungannya.

    Penjaga lebah itu kemudiannya memasang abah-abah keselamatan itu pada kabel logam yang dipasang di tepi-tepi bumbung, sepanjang seluruh bangunan itu.

    “Ia tidak berbahaya, tetapi pihak insurans saya mengatakan sebaliknya,” katanya.

    Dengan berpakaian penuh elegan dan berjaket, bersama dengan peralatan keselamatan, dia membuat pergerakan dengan penuh berhati-hati untuk mencapai tiga sarang lebah yang diletakkan di sisi rata bumbung itu. Dari sana, dia (berusia 34 tahun), akan beralih menuju bumbung Institut de France yang berdekatan, sebuah bangunan bersejarah yang lain mempunyai kubah yang sangat mengagumkan.

    Dia kemudian menuju bumbung butik perhiasan Boucheron yang menghadap ke dataran Place Vendome, di seberang Seine, dengan peralatan yang sama sebelum menuju ke tiga sarang lebah itu. Dari jauh, Menara Eiffel jelas kelihatan di atas bumbung tersebut.

    Audric de Campeau ketika dia memeriksa set sarang lebahnya yang terletak di bumbung Perpustakaan Mazarine di The French Institute di Paris. – AFP
    Audric de Campeau (kiri) bersama anjingnya ketika dia mempersiapkan abah-abahnya untuk memeriksa sarang lebah yang berada di atas bumbung Monnaie de Paris di Paris, dengan berlatar belakangkan pemandangan Notre-Dame Cathedral. – AFP

    “Saya bernasib baik, pejabat saya berada di langit,” katanya sambil tersenyum, menambah bahawa dia “perlu menaiki tangga yang banyak.”

    De Campeau adalah seorang penjaga lebah di bandar raya itu, dan sarang lebahnya terletak di atas monumen dan bangunan-bangunan pejabat dan juga teres-teres. Ibu negara Perancis telah membina 700 sarang lebah, menurut perangkaan tahun 2015, kebanyakannya terletak di atas bumbung restoran-restoran makanan mewah seperti Tour d’Argent, Grand Palais dan Musee d’Orsay.

    Semakin banyak syarikat, termasuk AFP, juga menambah sarang lebahnya di atas bumbung bangunan pejabat mereka. Sarang lebah telah lama diletakkan di Paris Opera dan juga di Luxembourg Gardens sejak tahun 1856.

    Bumbung-bumbung di kawasan bandar ini adalah salah satu cara bagi bandar itu untuk memerangi populasi lebah yang semakin menurun dan ‘membimbangkan’, satu trend yang semakin diberi perhatian di Perancis disamping penggunaan racun perosak yang tinggi.

    Negara ini merupakan salah sebuah negara pengguna utama racun serangga di Eropah. Lebih banyak racun serangga digunakan, lebih banyak perosak akan imun dengannya, yang mungkin membawa kepada penggunaan racun perosak yang lebih intensif.

    Lebah di seluruh dunia – terutamanya di Eropah dan Amerika Utara – telah terhapus pada tahun-tahun kebelakangan ini akibat dari ‘gangguan keruntuhan koloni’, di mana seluruh populasi ini hilang atau mati.

    Para penyelidik telah menuding jari kepada racun perosak, virus, kulat, parasit, cuaca buruk, kekurangan makanan oleh kerana kekurangan bunga – atau beberapa kombinasi di atas.

    Menurut jawatankuasa penasihat ekonomi dan sosial Kesatuan Eropah (EESC), “hampir separuh spesies lebah liar telah pupus dalam masa 30 tahun”.

    Audric de Campeau ketika dia memeriksa sarang lebah di atas bumbung Monnaie de Paris. – AFP
    Audric de Campeau menggunakan alat keselamatan semasa memeriksa sarang lebah yang berada di bumbung Monnaie de Paris. – AFP

    Tetapi lebih separuh lebah yang ada pada masa ini di ambang kepupusan. Para saintis telah mencatatkan bahawa 1.4 bilion pekerjaan dan tiga suku tanaman bergantung kepada pendebunga, yang mana ia dihasilkan oleh lebah.

    Kesemua daripada mereka ini memberitahu terdapat kira-kira 20,000 spesies lebah yang menyuburkan lebih daripada 90 peratus daripada 107 tanaman utama di dunia. Pada masa yang sama, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan bahawa 40 peratus pendebunga invertebrata – kebanyakannya lebah dan rama-rama – adalah berisiko untuk pupus.

    Dalam usaha untuk mempertahankan kehidupan lebah, bandar utara Perancis, Lille, mula menyediakan persekitaran bebas-racun perosak pada tahun 2007. Bandar selatan Montpellier tidak lama kemudian mengikutinya dengan memasang sarang lebah di kebanyakan bumbung-bumbung di sekolah tinggi.

    Walaupun pakar mengatakan ia tidak dapat menyelesaikan masalah itu, perkhidmatan alam sekitar Lille berkata 80 spesies lebah liar yang telah hilang dari kawasan itu telah kembali semula sejak memulakan program tersebut.

    De Campeau melihat misinya sebagai ‘dua dalam satu’: menjaga kesihatan lebahnya sambil menghasilkan apa yang dia sebut sebagai ‘emas cair’ untuk syarikatnya, Le Miel de Paris (Madu Paris).

    Bergantung kepada perjanjian bersama dengan pemilik-pemilik bangunan, sama ada dia menjual madu itu atau mereka menggunakannya. Di Monnaie de Paris, cef Guy Savoy telah menggunakan madu Campeau di restorannya sabagai satu hidangan pencuci mulut. Dia menjual madu buatan sendiri dalam botol 200ml dengan harga 34.90 euro (AS$41). – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda