Oleh Kurniawati Kamarudin
SAMA seperti jalinan persahabatan antara manusia, sungai juga perlu disayangi, dijaga dan dipulihara bagi memastikan ‘hubungan’ itu terus kekal untuk manfaat bersama.
Bagaimanapun, untuk mewujudkan suasana harmoni antara manusia dengan sungai menjadi semakin sukar hingga berlaku konflik disebabkan sikap dan keegoan manusia yang hanya menganggap sungai tidak lebih sebagai ‘tong sampah’ untuk dilemparkan segala kekotoran dan sisa buangan.
Merintis ke arah hubungan yang lebih baik dengan sungai terutama Sungai Langat, usaha ini menghimpunkan sekumpulan ahli akademik, penyelidik, pelajar, komuniti dan pelbagai pihak bagi mewujudkan apa yang dipanggil Sahabat Sungai Langat atau Friends Of Langat River.
Fokus kumpulan ini adalah untuk memulihara anak-anak sungai di sepanjang Sungai Langat bagi memastikan air yang mengalir tidak mencemari Sungai Langat.
Cetusan idea
Terletak 50 kilometer dari kawasan hulu Sungai Langat di Gunung Nuang, anak Sungai Bangi yang melalui Alur Ilmu (panggilan untuk kawasan kampus), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi lokasi pertama bagi menggerakkan Sahabat Sungai Langat. Sahabat Sungai Langat adalah cetusan idea Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Zaini Ujang.


Kepakarannya dalam rawatan air serta keprihatinan dalam masalah pencemaran yang kerap kali berlaku di Sungai Langat yang merupakan sumber air bersih utama di Lembah Klang membuatkan beliau cukup serius untuk mewujudkan Sahabat Sungai Langat.
Tujuannya hanya satu iaitu untuk merealisasikan slogan ‘Cintai Sungai Kita’ bagi menanam rasa tanggungjawab bersama terhadap sungai. Sejak digerakkan Mac tahun lepas tidak kurang 13 aktiviti sukarela telah dijalankan yang membuktikan tiada yang mustahil untuk mewujudkan persahabatan mesra dengan sungai.
Pemuliharaan Sungai Langat
Sumber air Sungai Langat di hadapan UKM sepanjang tujuh kilometer bermula dari anak Sungai Bangi di dalam hutan simpan UKM dan melalui Alur Ilmu sebelum memasuki ke Sungai Langat.
Sepanjang lima kilometer anak sungai itu berada dalam kawasan hutan simpan sementara dua kilometer lagi melalui Alur Ilmu hingga ke Sungai Langat.
Melalui Sahabat Sungai Langat, UKM diamanahkan untuk menjaga aliran sungai sepanjang dua kilometer yang melalui Alur Ilmu hingga ke Sungai Langat bagi memastikan kualiti airnya bersih tanpa pencemaran, demikian menurut Timbalan Naib Canselor UKM, Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman.
Walaupun kualiti air yang melalui Alur Ilmu masih dalam kategori baik iaitu Kelas II B namun jika tidak dipantau, kualitinya boleh menurun. Antara penyumbang utama yang boleh menjejaskan kualiti air seperti sisa buangan dari kedai makanan yang terdapat di dalam UKM.
“Beberapa tindakan diambil antaranya dengan menutup premis tersebut sementara premis yang dibenarkan beroperasi akan terus dipantau daripada semasa ke semasa.”
“Kita mahu pastikan kualiti air yang keluar dari Alur Ilmu ke Sungai Langat dalam keadaan bersih.”
“Jika kotor dan tercemar masyarakat sekeliling juga akan terjejas,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya baru- baru ini. Kerjasama para penyelidik, ahli akademik, pengurusan kaki tangan dan pelajar UKM adalah gandingan yang terbaik dalam usaha membaik pulih serta menjaga kebersihan sungai di sini.
Ujarnya, UKM juga terlibat sejak awal sekitar Januari 2014 bagi pemeliharaan dan pemuliharaan Sungai Langat melalui Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI). Usaha itu berjaya memasukkan Lembangan Sungai Langat sebagai sungai yang diiktiraf oleh UNESCO sebagai satu lembangan sungai UNESCO di bawah program ‘Hydrology for the Enviroment, Life and Policy’ ( HELP).
“Sejak itu UKM bergerak aktif dalam aktiviti penyelidikan dan pendidikan Sungai Langat bagi memastikan lembangan sungai terus dijaga dan dipulihara dengan baik dan dapat meningkatkan statusnya pada masa hadapan.
“Kerana itu apabila Datuk Seri Zaini Ujang mencadangkan untuk mewujudkan Sahabat Sungai Langat, UKM sangat berminat untuk turut serta yang merupakan salah satu tanggungjawab sosial kami,” katanya.
Tempat rekreasi baharu
Walaupun usaha yang dilakukan Sahabat Sungai Langat belum sampai setahun lagi tetapi sudah menunjukkan hasil yang positif melalui kerjasama baik dengan banyak pihak termasuk Indah Water Konsortium (IWK), Jabatan Bekalan Air (JBA), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS). Mereka berjaya membersihkan kawasan terbiar di laluan ke Sungai Langat sehingga menjadi tempat riadah.
Sebuah kolam sederhana besar digali sebagai tempat takungan bagi menapis air dari Alur Ilmu sebelum mengalir masuk ke Sungai Langat. Antara kemudahan yang disediakan termasuk tangga berbatu untuk turun ke anak sungai serta menyediakan dua gazebo bagi orang ramai berehat sambil menikmati pemandangan menghijau di sekeliling kawasan termasuk pokok buah-buahan yang ditanam.
Bunyi air sungai yang melalui di hadapan gazebo mampu menjadi terapi yang cukup menenangkan. Bagi yang ingin mengeluarkan peluh pula, aktiviti bersukan dan berbasikal juga boleh dilakukan dengan laluan yang disediakan.
Menurut Pensyarah Kanan LESTARI Dr Rahmah Elfi tri, semua usaha ini dilakukan secara sukarela dengan sumbangan dan bantuan Sahabat Sungai Langat yang berjaya mengubah kawasan yang terbiar sebelum ini kepada satu kawasan yang boleh memberi manfaat untuk kegunaan bersama, Beliau yang juga salah seorang penggerak terawal Sahabat Sungai Langat berkata Zaini sendiri memilih kawasan yang dijadikan tempat riadah setelah melihat kesesuaiannya.
Kawasan berkenaan terletak bersebelahan dengan jambatan Sungai Langat dan berdekatan dengan pintu masuk utama UKM. “Hampir setiap bulan kami, Sahabat Sungai Langat mengadakan aktiviti di sini bermula daripada membersihkan kawasan hingga ke peringkat sekarang untuk memperindah dan melengkapkan prasarana supaya boleh digunakan komuniti setempat.
“Ramai lagi yang masih tidak tahu tentang tempat ini yang sedikit tersorok. Kami sedang berusaha mempromosikan melalui media sosial agar lebih ramai lagi yang tahu dan menggunakan kemudahan yang ada dengan sebaiknya,” katanya.
Pusat pendidikan sungai
Selain itu sebuah kabin yang dijadikan Pusat Pendidikan Sungai Langat disediakan untuk memberi maklumat, kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat mengenai Sungai Langat dan kepentingan penjagaan sungai. Diharapkan ia boleh menjadi pusat rujukan bagi pihak yang memerlukan maklumat dan kepentingan Sungai Langat, katanya.
Tidak akan terhenti di Alur Ilmu, Sahabat Sungai Langat akan dikembangkan kepada sembilan lagi anak Sungai Langat yang lain. “Perancangan selepas ini, Sahabat Sungai Langat akan memberi fokus ke Sungai Air Hitam/ Parit Utama di Seksen 4 Bandar Baru Bangi.”
“Mungkin kawasan itu akan diberi tanggungjawab kepada IWK untuk mengetuai penjagaan di kawasan tersebut,” katanya sambil menambah ia akan dimulakan selewat-lewatnya sebelum suku pertama tahun ini.
Apabila lengkap penjagaan di 10 lokasi anak Sungai Langat nanti tidak mustahil program seumpama ini boleh dikembangkan di semua sungai utama di seluruh negara dan mampu membuka satu lembaran hubungan baharu antara manusia dan sungai. – Bernama