Oleh Daniel Lim
BELAIT, 18 SEPT – Pelajar-pelajar dan guru serta sukarelawan dari Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) telah bergotong-royong mencantikkan perkarangan Sekolah Arab Belait (SAB), hari ini, sebagai sebahagian daripada Aktiviti Penanaman Pokok.
Aktiviti berkenaan dianjurkan oleh SAB dengan bantuan daripada BSP sempena ke-90 tahun penubuhan syarikat dan inisiatif 90 Acts of Kindness syarikat berkenaan yang memberikan bantuan dengan menyediakan pelbagai jenis pokok serta menanam pokok berkenaan bersama ahli-ahli pengakap dan guru-guru sekolah itu. Lebih 50 orang guru dan pelajar sekolah berkenaan terlibat dalam aktiviti tersebut bersama 20 orang sukarelawan BSP.
Secara keseluruhannya, sebanyak 45 anak pokok telah ditanam di premis sekolah tersebut termasuk di taman landskap mini di depan surau sekolah. Bermatlamat sebagai sebahagian daripada inisiatif sekolah berkenaan dan sukarelawan BSP untuk membantu menyokong perlindungan alam sekitar terutamanya ke arah Brunei Hijau, aktiviti berkenaan juga dilaksanakan untuk mengeratkan lagi hubungan antara syarikat dan sekolah serta meningkatkan kesedaran menjaga alam sekitar serta menangani isu-isu pemanasan global.

