Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 2 Okt – Dalam usaha untuk memberikan kesedaran kepada orang-orang kampung akan pentingnya menjaga kebersihan di kawasan rumah masing-masing, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Mumong telah mengadakan kerja bergotong-royong membersihkan kawasan kampung tersebut kelmarin.
Ketua Kampung Mumong, Haji Mohd Yusof bin Dulamin memberitahu kempen gotong-royong itu diadakan bersempena dengan Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan juga sebagai menyahut seruan kerajaan untuk sentiasa menjaga kebersihan dan kehijauan kampung.
Kempen yang juga bertujuan untuk mengindahkan kawasan kampung itu melibatkan kerja-kerja membersihkan kawasan rebahan sepohon kayu yang telah ditiup angin baru-baru ini, selain memotong rumput di beberapa kawasan kampung berkenaan.
Haji Mohd Yusof juga menjelaskan, kerja-kerja membersihkan itu telah melibatkan kira-kira 10 orang ahli MPK yang mana sebahagian ahli juga menyertai acara kempen kebersihan di Kuala BelaitKu Ceria dan lainnya.
