Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Negara Brunei Darussalam di bawah Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan, komited untuk melaksanakan harga karbon sebagai strategi kebangsaan di mana perhutanan, aset tanah semula jadi terbesar negara mesti memainkan peranan utama.
“Kita bernasib baik kerana lebih 70 peratus daripada negara kita kekal diliputi hutan. Walau bagaimanapun, peralihan daripada perlindungan hutan yang kukuh kepada pengewangan hutan tanpa menjejaskan integriti ekologi, memerlukan ketepatan teknikal, data yang boleh dipercayai dan proses pengesahan yang mantap.
“Ke arah itu, hutan paya gambut Belait memainkan peranan penting di mana sebagai salah satu jenis hutan kita yang paling penting dari segi ekologi dan kaya karbon, ia memberikan potensi yang baik sebagai tapak perintis untuk projek karbon hutan sukarela.”
Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab dalam ucapannya semasa pembukaan bengkel Exploring Forest Carbon Market Opportunities in Brunei Darussalam: The Case of Belait Peat Swamp Forest yang berlangsung di salah sebuah hotel di Kiulap, hari ini.
Beliau menekankan amat penting untuk memastikan data yang tersedia adalah mencukupi serta metodologi yang digunakan adalah sejajar dengan piawaian antarabangsa seperti Garis Panduan Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) dan rangka kerja yang baru muncul seperti ART TREES dan Verra.


Bengkel yang dianjurkan bersama oleh KSSUP melalui Jabatan Perhutanan dengan kerjasama Economic Research Institute for ASEAN and East Asian (ERIA) dari 15 hingga 16 September itu dihadiri 30 orang peserta yang terdiri daripada wakil Pejabat Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta pakar-pakar antarabangsa dari Indonesia, Malaysia, India dan Jerman.
Ia juga merupakan sebahagian daripada kerjasama di bawah projek, Gap Analysis and Verification of the National Forest Resources Inventory, antara KSSUP dan ERIA.
Bengkel itu bermatlamat untuk menilai tahap kesediaan hutan paya gambut Belait sebagai tapak perintis berpotensi bagi penyertaan dalam pasaran karbon secara sukarela, selaras dengan aspirasi negara dalam pemuliharaan hutan dan menangani perubahan iklim.
Sepanjang bengkel, para peserta membincangkan penemuan berkaitan pengesahan stok karbon, menilai kelayakan projek mengikut piawaian karbon antarabangsa, mengkaji dasar serta kerangka institusi yang menyokong pelaksanaan projek serta meneliti aspek kebolehlaksanaan dari segi kewangan.
Lawatan lapangan ke hutan paya gambut Belait turut diadakan pada hari kedua bengkel berkenaan.
Bengkel itu dijangka membantu Jabatan Perhutanan dalam memanfaatkan kepakaran ERIA untuk menganalisis dan mengesahkan data garis dasar (baseline) serta meneliti dapatan bagi Fasa I: Hutan Paya Gambut Belait serta memastikan kaedah pengumpulan data adalah selaras dengan piawaian antarabangsa, khususnya Garis Panduan IPCC 2006.
Di samping itu, usaha berkenaan juga dilihat dapat mengukuhkan lagi keupayaan hutan paya gambut sebagai takungan karbon dan menilai potensi penjanaan serta penjualan kredit karbon melalui mekanisme perdagangan karbon.
Penemuan dan cadangan utama daripada bengkel itu dijangka akan dibentangkan dalam Mesyuarat Menteri-menteri mengenai Pertanian dan Perhutanan (AMAF) sebagai sumbangan kepada usaha berterusan Negara Brunei Darussalam dalam meneroka penyelesaian perubahan iklim berasaskan alam semula jadi serta pengurusan hutan secara mampan.

