Thursday, October 10, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha meriahkan suasana kampung

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Bagi memeriahkan suasana kampung seterusnya memberi peluang penduduk kampung menjana ekonomi, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor Mengkubau buat julung kalinya telah menganjurkan Karnival Warga RPN Kampung Panchor Mengkubau 2017, baru-baru ini.

    Karnival yang berlangsung selama tiga hari di sepanjang Jalan Tanjong Selasih itu telah berjaya menarik minat pengunjung untuk menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.

    Antara tujuan karnival berkenaan adalah untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga RPN Panchor Mengkubau, selain memberi peluang penduduk mengadakan aktiviti jualan secara berkelompok serta memberi kesedaran akan pentingnya aktiviti sukan dan riadah dalam kalangan penduduk, sekali gus menyahut seruan pihak kerajaan iaitu ke arah warga sihat.

    Aktiviti-aktiviti yang diadakan semasa karnival berkenaan termasuk Permainan Tradisional dari Jabatan Muzium-muzium Brunei, Permainan Puzzle dan Peraduan Mewarna kelolaan Biro Wanita serta Persembahan Busking yang diadakan pada hari pertama.

    Hari kedua karnival pula dimeriahkan dengan Perlawanan Netball, Peraduan Tulisan Seni Khat dan Mewarna Ala Islamik, Pertandingan Menapih Sinjang dan Kuiz Islamik anjuran Biro Keagamaan.

    Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan ketika karnival tersebut berlangsung.
    Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan ketika karnival tersebut berlangsung.
    Acara Mengkubau Fun Night Ride yang turut memeriahkan karnival.
    Acara Mengkubau Fun Night Ride yang turut memeriahkan karnival.

    Selain itu, turut diadakan Perlawanan Futsal Lima Orang Sepasukan anjuran Biro Belia dan Sukan serta Peraduan Cabaran Memasak kelolaan Biro Wanita dengan menu utama masakan ayam.

    Karnival itu juga memberi peluang kepada peminat aktiviti berbasikal menyertai Mengkubau Fun Night Ride yang telah dilancarkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman@Othman.

    Yang Berhormat juga menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah kepada para peserta Pertandingan Nyanyian Peringkat Akhir anjuran Biro Kemasyarakatan dan Perhubungan MPK.

    Manakala itu, aktiviti pada hari ketiga adalah Perlawanan Tarik Kalat, Perlawanan Fixie dan Futsal Lima Orang Sepasukan.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada hari tersebut dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah kepada para pemenang ialah pengusaha dari Daerah Tutong, Haji Abdul Khani bin Haji Abdul Kadir.

    Turut menyertai karnival ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat yang mempamerkan jentera bomba, manakala Jabatan Penjara mengetengahkan produk kraftangan dan hasil pertanian.

    Setelah melihat kejayaan karnival tersebut, MPK Kampung Panchor Mengkubau berhasrat untuk mengadakan aktiviti seumpamanya pada April nanti dengan menawarkan lebih banyak aktiviti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda