Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Bagi Negara Brunei Darussalam, kadar pengangguran jangka masa panjang telah menunjukkan trend yang menurun, iaitu daripada 4.3 peratus pada 2019 kepada 2.4 peratus pada 2022.
Sehubungan itu, pihak Sekretariat Tetap Manpower Planning and Employment Council (MPEC) melalui JobCentre Brunei telah dan sedang melaksanakan beberapa usaha ke arah memastikan individu-individu yang mengikuti Program i-Ready atau pekerjaan sementara berdasarkan projek di mana apabila kontrak mereka berakhir tidak perlu berbalik semula kepada pengangguran.
Objektif utama Program Perantis i-Ready adalah untuk memberikan pengalaman dan kemahiran kerja di sektor swasta mahupun kerajaan selama 18 bulan. Pada masa yang sama juga, ia dapat membantu dalam meningkatkan marketability dan employability graduan-graduan tempatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah telah menjelaskan perkara berkenaan ketika mengulas perbahasan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed berhubung isu pengangguran di negara ini dan strategi atau langkah-langkah selanjutnya yang telah diambil atau akan diambil oleh pihak MPEC setelah kontrak-kontrak para perantis i-Ready berakhir untuk memastikan bahawa individu-individu berkenaan tidak perlu berbalik kepada pengangguran.
Pada hari ke-12 Persidangan MMN di Bangunan Dewan Majlis, hari ini, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew turut menjelaskan lanjut bahawa dalam memastikan tahap kualiti Program i-Ready sentiasa terjamin serta meningkatkan bilangan anak tempatan mendapat pekerjaan, pihak JobCentre Brunei telah mengambil beberapa langkah iaitu memperketat lagi proses pemilihan syarikat yang mengikuti program berkenaan seperti mengutamakan syarikat-syarikat yang memberikan Conditional Offer of Employment setelah selesai tempoh perantisan.
Tambahnya, setakat ini sebanyak 70 peratus perantis di sektor swasta telah ditawarkan Conditional Offer of Employment.
Nama-nama perantis berkenaan juga dimasukkan ke dalam senarai pencari kerja atau talent pool di JobCentre Brunei dan dikongsikan dengan syarikat-syarikat yang mencari pekerja tempatan dari semasa ke semasa, melalui usaha job matching.
Para perantis juga digalakkan untuk mengikuti inisiatif-inisiatif pembangunan kapasiti yang dijalankan oleh Sekretariat Tetap MPEC seperti Program Skills Plus dan inisiatif yang diungkayahkan bersama Manpower Industry Steering Committee.
