WOODSTOCK – Sebuah kawasan bandar lama terletak di New England, Amerika Syarikat menampilkan panorama yang sangat indah di mana ia telah berjaya memukau ramai pihak termasuk ahli environmentalis, peneroka sejarah dan para pelancong, berhadapan dengan sebuah situasi yang agak genting apabila ia bakal kehilangan seri setelah terdapat beberapa tradisi yang sebelum ini pernah dilaksanakan di bandar bersejarah tersebut cuba untuk dilupakan.
Satu peraturan zon terbaru telah diperkenalkan yang mana memerlukan kebanyakan bahagian tingkap bangunan di kawasan bandar itu untuk dilengkapi dengan bidai (shutters), suatu tradisi lama yang berfungsi untuk melindungi bangunan di mana ia juga menjadi salah satu keunikan reka bentuk bangunan di New England.
Beberapa dekad yang lalu, pemasangan bidai (shutters) bagi melengkapi dekorasi rumah memang cukup popular namun ia kelihatan kian merosot sejak akhir-akhir ini.
Malah, beberapa pemilik hartanah juga mula mempersoalkan mengenai sejauh mana keberkesanan peraturan tersebut dikuatkuasakan sehingga ada beberapa pihak yang enggan untuk memasang bidai tersebut.
“Kawasan perkampungan Woodstock memang mempunyai reputasi yang terkenal di peringkat antarabangsa sebagai salah satu bandar tradisi di New England,” jelas salah seorang penguat kuasa zon di kawasan perkampungan itu.

Pada tahun 2014, wakil kawasan perkampungan tersebut telah mula menyuarakan mengenai isu pemasangan bidai tersebut dalam perdebatan bersama beberapa pihak yang berhasrat agar tradisi pemasangan bidai tersebut untuk dilepaskan dan usaha untuk memelihara tradisi itu masih giat dilaksanakan.
Salah seorang pemilik hartanah tempatan yang terpaksa memasang kembali bidai tersebut di bahagian tingkap bangunan menjelaskan bahawa dia memilih untuk melepaskannya sebelum ini adalah kerana merasakan struktur bangunan miliknya akan kelihatan lebih menarik.
Namun terdapat juga beberapa penduduk yang berada di kawasan itu yang terus menghormati dan menghargai tradisi tersebut.
“Selaku rakyat yang baik, kami wajar mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan namun begitu kesal terhadap sesetengah pihak yang enggan untuk mematuhinya,” jelas William Bawden dari Washington D.C yang telah menjalankan perniagaan barangan antik sejak tahun 1999 bersama dengan isterinya di bandar tersebut.
“Di era globalisasi ini, isu utama yang menjejaskan tradisi seni bina bangunan bukan hanya datang daripada keengganan terhadap pemasangan bidai malah juga terdiri daripada beberapa anasir teknologi moden seperti pagar piket, alat penghawa dingin, laluan ventilasi di dapur dan pam haba,” jelas Perancang Bandar, Michael Brands.
“Tahun demi tahun, secara perlahan-lahan nilai sejarah semakin terhakis dalam seni bina tradisi bangunan terutama apabila peraturan kurang dikuatkuasakan dan ia merupakan satu kehilangan yang sangat besar,” tambah beliau.


Perkampungan Woodstock yang memiliki jumlah penduduk kira-kira 1,000 orang merupakan penempatan awal kepada seorang ahli environmentalis terkemuka, George Perkins Marsh yang juga penulis buku Man and Nature pada tahun 1864.
Pada tahun 1992, keluarga Rockefeller yang mewarisi kekayaan dari sumber minyak juga telah membina Taman Sejarah Kebangsaan Marsh Billings Rockefeller yang merupakan mercu tanda di bandar tersebut.
Anheuser-Busch juga telah memilih Woodstock dan kawasan persekitarannya sebagai latar kepada iklan Krismas yang menampilkan tema klasik seperti menerapkan unsur kereta kuda dan salji.
“Kini kebanyakan penduduk di kawasan perkampungan itu enggan untuk memasang kembali bidai di bahagian tingkap bagi melengkapi seni bina tradisi bangunan memandangkan ia memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi,” jelas Brands,
Timbalan Pengarah Penyelidikan di Persatuan Perancangan Amerika yang berpusat di Chicago, Jennifer Henaghan menjelaskan bahawa konflik seperti ini memang sudah biasa dialami di negara itu.
“Pada dasarnya, tidak ramai di antara kita yang suka untuk diarahkan dalam menerima atau melakukan sesuatu perkara dan ia terserah kepada individu itu sendiri untuk melakukan sesuatu perkara,” jelas Henaghan. – AP