Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN– Sebanyak 16 anak pokok telah ditanam di kawasan Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (L3C), Lambak sebagai inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di bawah anjuran Sekolah Perniagaan Politeknik Brunei baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat merasmikan acara tersebut adalah Pengetua Politeknik Brunei, Hajah Armah binti Tengah dan turut hadir adalah Ketua Sekolah Perniagaan, Emily Tan Phek Suan, para pensyarah dan juga pelajar.
Usaha penanaman pokok berkenaan melambangkan tindakan kecil dalam mendorong perubahan yang bermakna, serta memberi inspirasi kepada orang lain untuk menyertai gerakan membina planet yang lebih hijau dan sihat.
Usaha berkenan juga antara lain bertujuan untuk menggalakkan sukarelawan di seluruh empat daerah di Brunei dan ke arah itu, Sekolah Perniagaan turut menyumbang kepada usaha berkenaan dengan melibatkan belia aktiviti sedemikian.
Penanaman pokok bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang perubahan iklim, tetapi juga menanamkan semangat sukarelawan di kalangan peserta sejajar dengan Hari Sukeralawan Antarabangsa dan juga Kempen Hari Tindakan yang dilancarkan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Tambahan lagi, usaha berkenaan selaras dengan Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei yang menekankan kuasa tindakan kolektif dalam melindungi alam sekitar.
Dengan setiap pokok yang ditanam, diharapkan inisiatif berkenaan menjadi simbol harapan, ketahanan, dan komitmen, sekali gus menghimpunkan pelajar dan komuniti untuk mengambil tindakan untuk masa depan yang mampan.