KUALA LUMPUR, 7 Jan – Kerajaan Malaysia berkata semalam telah meluluskan usaha terbaru syarikat persendirian untuk mencari bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370, setelah hampir empat tahun kehilangannya yang mencetuskan misteri terbesar dalam sejarah penerbangan.
Ocean Infinty, syarikat yang berpangkalan di Houston, Texas menghantar sebuah kapal pencarian minggu lalu untuk mencari serpihan pesawat di selatan Lautan Hindi, yang hilang pada 8 Mac 2014, semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing membawa seramai 227 orang penumpang dan 12 anak kapal.
Kerajaan Malaysia, China dan Australia telah menghentikan pencarian rasmi selama hampir tiga tahun pada Januari lalu. Laporan akhir Biro Keselamatan Pengangkutan Australia terhadap pencarian mengakui tidak mengetahui punca sebenar sebab-sebab kehilangan Boeing 777 ataupun lokasinya yang tepat.
“Tawaran dari Ocean Infinity adalah berdasarkan ‘tiada ubat, tiada bayaran,” beritahu Menteri Pengangkutan Malaysia Liow Tiong Lai semalam, dengan maksud pembayaran hanya akan dilakukan sekiranya syarikat itu berjaya menemukan bangkai pesawat itu.
“Itu bermakna, mereka sanggup untuk mencari kawasan seluas 25,000 kilometer persegi (9,653 batu persegi) yang ditunjukkan oleh kumpulan pakar berhampiran perairan Australia,” katanya.
Namun katanya lagi, “Saya tidak mahu memberikan harapan tinggi kepada para waris.” Beliau turut mengatakan yang kerajaan komited untuk meneruskan pencarian, tanpa mengulas lebih lanjut.
Dalam kenyataan Ocean Infinity, kapal pencarian Seabed Constructor, bergerak meninggalkan pelabuhan Durban di Afrika Selatan pada Selasa, mengambil kesempatan terhadap cuaca baik untuk bergerak ke arah “zon sekitar kemungkinan pencarian.” – AP