GENEVA, 31 JULAI – Hanya empat negara – Brazil, Mauritius, Belanda dan Turkiye – telah mengambil semua langkah anti-tembakau yang disyorkan dalam usaha memerangi ‘wabak merbahaya’ merokok, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.
Dalam laporan terkini, agensi kesihatan PBB itu menggesa negara-negara untuk meningkatkan penggunaan langkah-langkah yang diiktiraf bagi mengurangkan penggunaan tembakau, termasuk menguatkuasakan larangan pengiklanan, menampal amaran kesihatan pada bungkusan rokok, menaikkan cukai tembakau dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang ingin berhenti merokok.
WHO menyatakan bahawa Mauritius dan Belanda kini menyertai Brazil dan Turkiye dalam melaksanakan semua langkah yang disyorkannya.
Ia juga berkata 5.6 bilion orang atau 71 peratus daripada penduduk dunia, kini dilindungi oleh sekurang-kurangnya satu langkah kawalan tembakau – lima kali lebih banyak berbanding pada tahun 2007.
Agensi kesihatan itu berkata kadar prevalens merokok di seluruh dunia telah menurun daripada 22.8 peratus pada tahun 2007 kepada 17.0 peratus pada tahun 2021.
Tanpa penurunan ini, mungkin terdapat 300 juta perokok tambahan sekarang, kata WHO.
“Sedikit demi sedikit, semakin ramai orang dilindungi daripada bahaya tembakau,” kata ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, sambil menambah bahawa organisasinya dengan bersemangat ingin menyokong usaha negara-negara dalam ‘melindungi rakyat mereka daripada wabak berbahaya ini’. – AFP