Monday, April 7, 2025
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha perkasa industri agrimakanan, pelbagaikan ekonomi negara

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 APRIL – Dalam usaha untuk memastikan pembangunan industri sektor agrimakanan lebih rancak, pembangunan kompetensi pengusaha-pengusaha sektor agrimakanan adalah penting dan harus diutamakan.

    Ke arah usaha itu,  Kementerian Sumber Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dengan agensi-agensi berkepentingan termasuk Bahagian Kawalan Makanan Halal, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB),  dan Autoriti Makanan Brunei Darussalam (BDFA) telah melaksanakan pelbagai aktiviti yang dihasratkan untuk menyokong peningkatan kompetensi pengusaha sektor agrimakanan supaya produk-produk yang dihasilkan dapat memenuhi piawaian-piawaian serta peraturan-peraturan makanan di dalam dan luar negara.

    Aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah termasuk mengadakan bengkel tatacara permohonan halal, kursus pengenalan amalan pembuatan baik (GMP), kursus asas pengendali makanan serta kursus mengenai bahan pengawet.

    Bengkel Tatacara Permohonan Permit Halal dijalankan dua kali setahun di mana ia bertujuan untuk meningkatkan kefahaman pengusaha agrimakanan mengenai permit halal, sijil halal dan akta – akta di bawah perintah sijil halal dan label halal (2005).

    Manakala Kursus Pengenalan Amalan Pembuatan Baik atau Good Manufacturing Practice (GMP) berhasrat untuk meningkatkan kefahaman mengenai prinsip-prinsip asas GMP dalam memastikan keselamatan dan kualiti produk yang dihasilkan, memberikan pengenalan elemen-elemen utama GMP, termasuk kawalan kualiti bahan, infrastruktur premis, penyelenggaraan peralatan, kawalan perosak dan pembersihan serta sanitasi persekitaran kerja, ilmu pengetahuan tentang bagaimana menerapkan GMP dalam operasi harian industri, termasuk pengeluaran, pembungkusan, dan pelabelan produk serta membantu persiapan untuk pensijilan GMP dengan memastikan pematuhan terhadap semua elemen GMP yang diperlukan.

    Suasana semasa kursus pengenalan GMP.
    Antara bengkel tatacara permohonan permit halal.

    Kursus Asas Pengendali Makanan pula bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman di kalangan pengendali makanan tentang prinsip-prinsip asas kebersihan dan keselamatan makanan, memperkenalkan piawaian kebersihan makanan seperti amalan kebersihan yang baik, membekalkan pengetahuan tentang cara mencegah kontaminasi makanan serta bagaimana mengenal pasti bahaya kebersihan makanan di tempat pemprosesan.

    Kursus Mengenai Bahan Pengawet pula memberikan pengenalan mengenai definisi, jenis dan fungsi bahan pengawet dalam meningkatkan kualiti dan jangka tempoh simpan produk makanan.

    Antara topik–topik yang disampaikan dalam kursus berkenaan adalah termasuk akta–akta di Negara Brunei Darussalam yang berkaitan dengan penggunaan bahan pengawet dalam produk makanan serta pengetahuan tentang undang-undang yang mengatur penggunaan bahan pengawet dalam industri makanan termasuk pelabelan.

    Selain daripada itu, KSSUP turut menyediakan platform untuk meningkatkan akses pasaran produk tempatan dan menghubungkan pengusaha dan platform agensi-agensi lain sebagai usaha untuk mengukuhkan potensi syarikat tempatan untuk terus berkembang dalam sektor agrimakanan.

    Usaha berkenaan adalah termasuk penganjuran Pasar Kitani, Pusat Agribisnes Rimba yang mana pasar mingguan dijalankan setiap Sabtu dan Ahad untuk memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk menjual dan mempromosikan produk mereka secara langsung kepada pengguna.

    Pasar Kitani yang mempromosikan produk tempatan.

    Selain itu, penganjuran Ekspo Produk Tempatan (LPE) dengan kerjasama pelbagai agensi, merupakan platform yang dikhususkan bagi syarikat tempatan untuk mengembangkan lingkungan pasaran dengan berhubung secara langsung dengan pengguna melalui pameran dan jualan serta sekali gus meluaskan pasaran.

    Antara pameran di bawah penganjuran LPE.

    Platform Bruneian Made oleh BEDB pula menyediakan ruang pameran di lokasi strategik untuk memasarkan produk tempatan sekali gus meningkatkan kesedaran dan penerimaan produk tempatan di kalangan pengguna serta membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana tempatan untuk mengembangkan pasaran produk tempatan.

    Antara usaha mempromosikan produk tempatan.

    KSSUP terus komited dalam memperkasakan industri agrimakanan dan syarikat tempatan melalui pelbagai inisiatif strategik termasuk menarik pelaburan asing berkualiti, menyediakan tapak pemprosesan untuk pelabur baharu serta menyokong perniagaan tempatan melalui Pasar Kitani, Platform Bruneian Made oleh BEDB dan Local Product Expo (LPE).

    Setiap usaha itu membuka peluang yang lebih luas kepada usahawan tempatan dengan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta bagi mengangkat jenama tempatan ke peringkat lebih tinggi dan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf semasa acara pelancaran jenama Mantap. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JABATAN PERTANIAN DAN AGRIMAKANAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda