NEW DELHI – Dalam bilik terkawal iklim di ibu negara India, pembaik pulih dengan teliti menyusun dokumen dan artifak bersejarah yang jarang ditemui untuk menyelamatkan cebisan-cebisan yang tidak boleh ditukar ganti yang memberikan tingkap unik kepada masa lalu New Delhi.
Pakar di Pusat Seni Kebangsaan Indira Gandhi (IGNCA) bertungkus-lumus menghidupkan semula peta dan gambar yang pecah berderai yang membantu menjejaki pembangunan bandar metropolitan yang kini menempatkan lebih 30 juta orang.
Kerja-kerja berkenaan membantu membentuk pemahaman yang lebih kompleks tentang metropolis berbilang agama yang telah mengalami gelombang penempatan dan perubahan berturut-turut selama beberapa milenium.
“Kami sedang memulihara kenangan dan kisah lampau,” kata Achal Pandya, yang mengetuai makmal pemuliharaan IGNCA.
“Dan negara yang tidak mempunyai kenangan atau ingatan tidak mempunyai identiti.”







Antara artifak paling berharga yang dipulihkan ialah peta tinjauan Wilson, koleksi yang terdiri daripada kira-kira 250 dokumen yang dihasilkan antara 1910 dan 1912 oleh seorang pegawai kolonial British.
Mereka memberi tumpuan kepada Old Delhi, bekas ibu negara bertembok yang diasaskan pada abad ke-17 sebagai ibu kota Mughal Shahjahanabad.
Di sisi peta terdapat daftar yang amat teliti tentang siapa yang tinggal di mana.
“Awda bukan hanya memiliki peta, tetapi awda juga memberikan maklumat tentang penduduk di sana,” kata Sanjeev Kumar Singh, sebahagian daripada pasukan
pemulihan warisan dari majlis bandar raya New Delhi.
Pengabaian selama bertahun-tahun menyebabkan dokumen yang rapuh itu lebih terdedah – keadaan yang diburukkan oleh iklim bandar yang teruk, yang beralih daripada musim panas terik yang membakar kepada monsun lembap kepada kesejukan musim sejuk yang boleh memerangkap beberapa pencemaran udara terburuk di dunia.
Tanpa pemuliharaan yang bermula pada 2022, ia akan hancur berderai, menurut pembaik pulih.
“Usaha ini diibaratkan sama penting seperti orang yang hampir mati memerlukan oksigen,” beritahu Singh kepada AFP. – AFP

