Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar Muiz Matdani
Kegembiraan jelas terpancar di wajah para pemenang Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan dan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Negara Anggota MABIMS yang diraikan baru-baru ini pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1444 Hijrah bertempat di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Kejayaan yang diperolehi pada malam tersebut merupakan hasil daripada usaha konsisten yang dilakukan bertahun-tahun sebelumnya.
Pepatah berbunyi ‘yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang’ merupakan ungkapan yang cukup tepat sekali dalam usaha mendapatkan sesuatu yang diinginkan termasuklah menghafaz ayat-ayat suci Al-Quran.
Sehubungan itu, pihak Media Permata berkesempatan menemu bual beberapa orang pemenang musabaqah bagi mengorek rahsia kejayaan mereka.
Johan bagi Kategori E Menghafaz 30 Juz Al-Quran daripada Juz 1 hingga Juz 30 Berserta Pemahamannya, Awang Abdul Aziz bin Awang Noor Nasran yang merupakan penuntut lepasan Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) berusia 19 tahun ketika ditemui terlebih dahulu memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran serta menyatakan rasa gembira atas kemenangan beliau pada hari tersebut.
Awang Abdul Aziz, yang mula mendekati diri dengan hafazan Al-Quran sejak usia tiga tahun ketika menuntut di Sekolah Al-Falah, telah menyertai pertandingan musabaqah ini sejak tahun 2011 hingga ke hari ini.
Beliau juga turut mengikuti pertandingan di peringkat antarabangsa dengan pencapaian terbaharunya diumumkan sebagai salah seorang peserta dalam kalangan 10 terbaik daripada 65 peserta yang mara ke peringkat akhir Pertandingan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-26 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang diadakan pada 1 hingga 14 Ramadan 1444 Hijrah.
Menyentuh mengenai persiapannya pada pertandingan kali ini, Awang Abdul Aziz menjelaskan bahawa beliau mengulangi hafazannya secara rutin dan selalu berlatih membaca secara bertajwid dan berlagu.
Di samping itu beliau juga melakukan latihan bersama rakan-rakan dan gurunya dengan meminta memperdengarkan hafazannya sehinggalah ke hari pertandingan berlangsung.
Awang Abdul Aziz turut menzahirkan harapannya agar dapat melihat lebih ramai generasi muda akan datang menceburi dalam bidang hafazan Al-Quran dan seterusnya mendalaminya sehingga dapat mengikuti musabaqah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Ucapan penghargaan turut disampaikannya kepada ahli keluarga yang terus mendukung sehingga memperolehi kejayaan berkenaan serta kepada gurunya di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Abdul Rashid yang banyak berjasa kepadanya serta ustaz-ustaz lainnya dan kawan-kawan lain yang membantunya selama ini.
Sementara itu, johan Kategori B bagi menghafaz surah-surah pilihan iaitu surah Luqman, surah As-Sajdah, surah Yasin, surah Ar-Rahmaan, surah Al-Waqi’ah, surah Al-Jumu’ah, surah Al-Mulk, surah Al-Insaan, surah Al-Jinn berserta pemahaman surah Al-Kahfi dan surah An-Nur, Dayang Alya Fathiyyah binti Haji Abdul Rajid semasa ditemui pihak media mengongsikan bahawa beliau sama sekali tidak menyangka akan menjadi johan dalam kategori yang disertainya pada kali ini.
Dayang Alya Fathiyyah, yang menuntut di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, menjelaskan bahawa apa yang penting dalam menghafaz Al-Quran adalah dengan terlebih dahulu membuat sasaran dan seterusnya diikuti dengan usaha secara konsisten selain mengulangi bacaan dan hafalan dengan bantuan ibu bapanya.
Menyentuh mengenai persiapan rapinya dalam menyertai musabaqah kali ini, apa yang juga diperlukan ialah ketekunan dalam mengulang hafazan serta latihan bersama para guru dan pembimbing serta orang tuanya dan mengelakkan dari sifat mudah berputus asa dalam proses penghafazan Al-Quran.
Di samping itu, beliau juga mengongsikan bahawa kejayaan yang diperolehinya itu juga adalah berkat daripada doa-doa keluarga terutamanya ibu bapa dan guru-gurunya.
Johan bagi Kategori C, Awang Ahmad Muhammad @ Munir bin Haji Ibrahim yang juga merupakan seorang tenaga pengajar di Mahad Islam Brunei semasa ditemui mengongsikan mengenai persiapannya dalam musabaqah tersebut yang merupakan atas dorongan ahli keluarganya dan seluruh warga sekolah di mana beliau harus mengulangi hafazannya semasa melakukan pekerjaan sehari-hari termasuklah ketika memandu kenderaan.
Menurutnya lagi, hafazan Al-Quran bukan hanya boleh dibuat oleh pelajar tahfiz sahaja tetapi ia boleh dibuat secara berperingkat-peringkat oleh individu yang lainnya asalkan ada minat serta tumpuan untuk mendalami Al-Quran.