Friday, February 21, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha selamat haiwan terbiar

    BAGHDAD – Kesejahteraan haiwan-haiwan terbiar seperti kucing dan anjing yang berkeliaran di bandar Baghdad, Iraq tidak lagi menjadi keutamaan kepada hampir seluruh penduduk selepas bertahun-tahun bandar itu dilanda pertumpahan darah dan ketidakselamatan.

    Haiwan-haiwan yang sering berdepan kekejaman malah penghapusan di jalan-jalan raya itu kini telah dibantu oleh sekumpulan para pencinta haiwan. Kumpulan itu membantu mencari pemilik baru menerusi media sosial.

    Seorang pelajar kolej pertanian, Assan Attallah, 22, baru saja membantu mencarikan rumah baharu buat enam ekor anjing yang ditemui di kejiranan Bandar Sadr.

    Kejayaan itu adalah yang terbaru sejak dia dan rakan-rakannya melancarkan laman Facebook, Animal Adoption kira-kira tiga bulan lalu. Mereka mewujudkan laman tersebut selepas terkenangkan nasib haiwan liar itu di Baghdad.

    “Saya memulakan projek ini selepas melihat haiwan itu dianiaya. Ada segelintir individu yang meracun dan membunuh haiwan ini,” ujar Attallah sambil bermain dengan beberapa ekor anak anjing.

    Assan Attallah ketika berkunjung ke tempat perlindungan haiwan di ibu negara Iraq, Baghdad. – AFP

    “Ramai yang membeli haiwan peliharaan pada harga tinggi. Mengapa tidak haiwan ini? Bawa haiwan ini kepada doktor haiwan dan bersihkannya supaya orang tertarik,” katanya.

    Setakat ini, Attallah berjaya mencari rumah baru kepada 25 ekor haiwan selepas memuat naik gambar secara online. Bagaimanapun, usaha meyakinkan dan menyedarkan orang ramai supaya mengambil berat terhadap haiwan terbiar merupakan satu cabaran besar.

    Sedekad lalu, pihak berkuasa terpaksa menghapuskan beribu-ribu ekor anjing liar menggunakan senapang automatik selepas jumlah haiwan tersebut didapati berlebihan.

    Sejak pencerobohan Amerika Syarikat pada tahun 2003 semasa memerangi kumpulan Islamic State, kira-kira 400,000 orang telah terbunuh dan berjuta-juta yang lain terpaksa dipindahkan, menyebabkan tumpuan Attallah membantu haiwan tersebut sering dipenuhi rasa ketidakpastian.

    “Kami juga mendapat maklum balas negatif daripada orang ramai.

    “Orang ramai berkata, kenapa awak bantu haiwan? Ia tidak mempunyai perasaan dan tidak faham apa-apa,” katanya.

    Klinik veterinar di utara Baghdad, Ahmad al-Qaissy, 29, dan rakannya, Yaarub al-Shimmary, 30, sibuk menjaga kucing bernama Mishmish.

    Mereka memungut kucing itu selepas pemilik sebenar membuangnya. Kedua-dua lelaki terbabit turut mengetuai Persatuan Kebajikan Haiwan Iraq dan terpaksa merawat haiwan yang cedera.

    “Kebanyakan haiwan yang kami terima telah didera sama ada oleh kanak-kanak atau orang dewasa. Haiwan-haiwan itu memerlukan rawatan, pembedahan dan vaksin,” katanya.

    Kucing-kucing yang diselamatkan telah ditempatkan di kawasan perlindungan haiwan di Baghdad. – AFP
    Seekor anjing disimpan dalam kurungan di tempat perlindungan haiwan di ibu negara Iraq, Baghdad. – AFP

    Selepas menjalani kehidupan yang penuh bahaya di jalan-jalan raya, haiwan-haiwan tersebut perlu dipulihkan sebelum diberi kepada pemilik baharu.

    “Hanya haiwan yang berada dalam keadaan baik dan tidak takut akan diberi kepada pemilik baharu,” ujar Qaissy.

    Seperti Attallah, pasangan itu turut menggunakan media sosial untuk mencari rumah bagi haiwan yang dipungut.

    “Kami mempunyai 35,000 ahli dalam Facebook. Apabila ada yang berminat untuk mengambil haiwan, kami akan menanyakan beberapa soalan kepada mereka.

    “Ia bagi memastikan haiwan-haiwan ini akan mendapat layanan baik daripada penjaga baharu,” ujar Shimmary.

    Bagi haiwan yang bernasib baik kerana mendapat penjaga baharu, kehidupan haiwan itu akan berubah serta-merta.

    Marina Jaber, 26, mengambil anjing jalanan berusia 11 bulan sebagai haiwan peliharaannya. Anjing yang diberi nama Majnoona itu datang sendiri ke rumahnya.

    Salah satu kaki Majnoona telah hancur selepas dilanggar oleh sebuah kereta dan suami Marina giat berusaha mencari kaki prostetik dari luar negara.

    “Saya rasa kita dicipta untuk melengkapi antara satu sama lain. Saya bertanggungjawab ke atasnya,” ujar Marina mengenai haiwan kesayangannya itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda