CAPE TOWN – Mashudu Mashau berkata ia mengambil masa kira-kira dua minit untuk menangkap seekor penguin, tugas yang dilakukannya setiap minggu untuk menyiasat kejadian burung laut yang cedera atau sakit.
“Kami tidak tergesa-gesa… kami turun, kadang-kadang kami merangkak, supaya kami tidak kelihatan mengancam, dan apabila kami dekat, kami menyasarkan kepala, memegangnya dan selamatkan penguin itu,” beritahu renjer berusia 41 tahun itu kepada AFP.
Kadang-kadang, apabila penguin berjalan terkedek-kedek dari pantai Afrika Selatan ke jalan-jalan berdekatan dan bersembunyi di bawah kereta, ia menjadi tugas yang lebih sukar.
“Kami mempunyai satu kes hari ini. Haiwan itu tidak mudah ditangkap kerana kesemuanya pergi dari satu bahagian ke bahagian lain (kereta), tetapi kami berjaya menangkapnya,” kata Mashau, yang telah mendedikasikan lapan tahun lalu bekerja untuk melindungi spesies penguin.
Setelah ditangkap dan diletakkan dengan berhati-hati ke dalam kotak kadbod, haiwan berbulu kecil itu dihantar ke hospital pakar untuk rawatan.
Namun pakar pemuliharaan dan doktor haiwan bimbang usaha mereka tidak mencukupi untuk menghentikan jumlah populasi penguin Afrika daripada merosot, yang disenaraikan sebagai amat terancam bulan lalu oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).
“Tidak kira berapa banyak yang kita lakukan, jika tidak ada persekitaran yang sihat untuk haiwan berkenaan, usaha kita adalah sia-sia,” kata doktor haiwan David Roberts, yang bekerja di hospital Yayasan Afrika Selatan untuk Pemuliharaan Burung Pantai (SANCCOB).
Kurang daripada 10,000 pasangan penguin tinggal di seluruh dunia, terutamanya di Afrika Selatan, menurun daripada 42,500 pada tahun 1991, dan burung itu boleh pupus di alam liar menjelang 2035, kata NGO BirdLife.
PENGUIN ‘KEBULURAN’
Jumlah yang semakin berkurangan adalah disebabkan oleh gabungan faktor termasuk kekurangan makanan, perubahan iklim, gangguan, pemangsa, penyakit, tumpahan minyak dan banyak lagi.
Tetapi ancaman terbesar ialah pemakanan, kata Allison Kock, ahli biologi marin dengan Taman Negara Afrika Selatan.
“Banyak penguin kelaparan dan tidak mendapat makanan yang cukup untuk membiak,” katanya kepada AFP.
Apabila penguin tidak cukup makan, sebaik-baiknya ikan sardin atau ikan bilis, ia tidak mempunyai kecenderungan untuk membiak.
Pihak berkuasa telah mengenakan larangan menangkap ikan secara komersial di sekitar enam koloni penguin selama 10 tahun mulai Januari.
Namun pusat SANCCOB dan BirdLife berkata zon larangan memancing tidak cukup besar untuk memberikan kesan yang ketara, dan telah menyaman Menteri Alam Sekitar berhubung isu itu.
“Sebaik-baiknya kami mahukan lebih banyak ikan di lautan tetapi kami tidak boleh mengawalnya. Apa yang kami boleh minta, adalah untuk mengehadkan persaingan langsung bagi baki ikan yang ada antara perikanan industri dan penguin,” beritahu pengurus penyelidikan SANCCOB, Katta Ludynia kepada AFP.
Persatuan Industri Perikanan Pelagic Afrika Selatan berkata impak industri perikanan terhadap sumber makanan penguin hanyalah sebahagian kecil daripada masalah yang dihadapi.
“Jelasnya terdapat faktor lain yang mempunyai kesan negatif yang ketara terhadap populasi Penguin Afrika,” kata pengerusi Mike Copeland.
Kementerian Alam Sekitar telah mencadangkan kumpulan perbincangan ‘untuk menyelesaikan isu yang kompleks,’ kata seorang jurucakap.
Sementara perbicaraan mahkamah dijadualkan pada Mac 2025, menteri – hanya menyandang jawatan itu sejak Julai – telah menggesa penyelesaian dicapai di luar mahkamah.
Selain daripada zon larangan memancing, banyak inisiatif lain juga sedang dijalankan untuk menyelamatkan penguin Afrika, termasuk sarang tiruan dan koloni baharu.
TRAFIK PELANCONG
Dilabel ‘amat terancam’ boleh memberikan kesan positif dan juga negatif.
Sementara ahli pemuliharaan berharap untuk mendapat perhatian dan pembiayaan, ia juga menjadikan isu penguin lebih menarik kepada pelancong yang kadangkala mengganggu bintang berkenaan.
“Penguin amat terdedah kepada ancaman… dan tahap gangguan, contohnya orang yang menggunakan batang swafoto, ia menjadi semakin mencabar,” beritahu Arne Purves, pegawai pemuliharaan dan pematuhan pantai untuk Cape Town, kepada AFP.
“Terutamanya memandangkan penguin kini lebih berprofil tinggi dan menjadi tarikan ramai pelancong.”
Pelancongan merupakan sektor penting bagi Afrika Selatan dan setiap tahun beribu-ribu orang melawat koloni penguin, sekali gus membawa masuk keuntungan berjuta-juta dolar.
Bagi mereka yang berada di barisan hadapan untuk menyelamatkan burung hitam putih yang tidak dapat terbang itu, seperti Mashau, tumpuan utama itu telah lama wujud.
“Dalam tempoh lima tahun lepas, ia adalah badak sumbu… kami harap kami akan mendapat pengiktirafan yang sama sekarang dan bantuan yang sama untuk penguin,” katanya.
Ia juga tentang perlindungan alam sekitar. “Ini adalah spesies yang menjadi petunjuk ekosistem yang sihat yang mana manusia turut menjadi sebahagian daripadanya… dan lebih sihat penguin, lebih ramai manusia turut mendapat manfaat,” katanya. – AFP