Tuesday, October 15, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha tanam semula hutan demi atasi kemusnahan alam

    SULAIMANIYAH – Di tapak semaian tumbuhan di wilayah autonomi Kurdistan di utara Iraq, ratusan anak pokok pain, kayu putih, zaitun dan delima tumbuh di bawah sengkuap melindunginya daripada matahari musim panas yang terik.

    Tapak semaian di Sarchinar di bandar Sulaimaniyah Kurdish itu adalah sebahagian daripada usaha memerangi kesan pemusnahan penebangan hutan di rantau itu.

    “Hampir 50 peratus daripada hutan telah hilang di Kurdistan dalam tempoh 70 tahun,” kata Nyaz Ibrahim daripada Program Makanan Sedunia (WFP) PBB.

    Dia mengaitkan kehilangan itu disebabkan “kekurangan air, peningkatan suhu, penurunan hujan yang tidak teratur dan juga insiden kebakaran.”

    Kehilangan tersebut adalah malapetaka, kerana wilayah Kurdistan adalah rumah kepada 90 peratus hutan di Iraq, yang merupakan antara yang paling teruk terjejas di seluruh dunia oleh perubahan iklim dan penggurunan.

    Jaring kasa mikro (gambar) dan penyiram gantung adalah antara peralatan baharu yang membantu tapak semaian untuk meningkatkan hasilnya secara besar-besaran dalam hanya dua tahun. – AFP
    Tapak semaian pokok Sarchinar di bandar Kurdish Sulaimaniyah. – AFP
    Kakitangan di tapak semaian tumbuhan di Kurdistan. – AFP
    Pembangunan hartanah dan pembinaan adalah antara ancaman kepada hutan. – AFP
    Wilayah autonomi Kurdistan adalah rumah kepada kira-kira 90 peratus hutan di Iraq. – AFP

    Sebahagian besar daripadanya berpunca daripada penebangan pokok haram dan kebakaran hutan, diperhebat oleh kemarau musim panas, serta operasi ketenteraan di sempadan utara Iraq.

    Di tapak semaian, yang tertua di Iraq, para pekerja sibuk memunggah anak pokok muda dari treler yang kemudiannya disusun di atas sebidang tanah.

    Di sini, kira-kira 40 varieti telah disemai untuk ditanam di hutan atau diberikan kepada petani, antaranya pain, sipres, juniper dan oak – pokok yang menjadi lambang hutan Kurdish.

    “Perubahan iklim memberi kesan kepada pertumbuhan tumbuhan,” kata jurutera pertanian Rawa Abdulqader.

    “Jadi kami mengutamakan pokok yang boleh tahan dengan suhu tinggi dan kurang air.”

    Dengan sokongan daripada WFP, jaring kasa-mikro dipasang di tapak semaian untuk melindungi pokok daripada matahari, mempercepatkan pertumbuhan dan meminimumkan penyejatan. Rumah-rumah hijau lain telah dilengkapi dengan penyiram gantung, yang lebih cekap air.

    Projek itu telah membantu pengeluaran tahunan Sachinar berkembang daripada 250,000 bibit pokok sebelum ia bermula pada akhir 2022, kepada 1.5 juta pada 2024.

    Dalam tempoh lima tahun, WFP berhasrat untuk menyokong pihak berkuasa dan aktor tempatan untuk menanam 38 juta pokok di lebih daripada 61,000 hektar di Kurdistan, dan berusaha untuk memelihara 65,000 hektar hutan.

    Menurut dua kajian rasmi, antara 1957 dan 2015, lebih 600,000 hektar hutan telah hilang.

    Sepanjang 14 tahun kebelakangan, kira-kira 290,000 hektar hutan telah dilanda kebakaran, kata Halkawt Ismail, pengarah pejabat perhutanan di kementerian pertanian Kurdistan.

    Kebakaran ini “terjadi terutamanya semasa kemarau musim panas. Dan lebih-lebih lagi kerana kecuaian penduduk”, katanya.

    Beliau menambah bahawa pembalakan haram pada 1990an oleh penduduk tempatan menggunakan kayu untuk memanaskan rumah mereka semasa krisis ekonomi adalah penyumbang signifikan kepada pengecutan hutan.

    Di tempat lain di Kurdistan, hutan telah mengalami kerosakan sampingan akibat pertempuran antara tentera Turkiye dan militan dari Parti Pekerja Kurdistan (PKK).

    Musim panas ini, media dan organisasi Kurdish berkata pengeboman Ankara terhadap PKK mencetuskan beberapa kebakaran hutan.

    Pada akhir Jun, kementerian pertahanan Turkiye menuduh PKK menyalakan api untuk mengurangkan jarak penglihatan dan menyembunyikan kedudukan mereka.

    “Turkiye telah membangunkan lebih 40 pos dan pangkalan tentera” di Kurdistan Iraq, “membalak berpuluh-puluh kilometer jalan melalui kawasan hutan, dan membersihkan hutan di sekitar pangkalan mereka,” kata Wim Zwijnenburg, seorang penyelidik dengan kumpulan pembinaan keamanan Belanda PAX, kepada AFP.

    “Amalan ini meningkat secara mendadak sejak 2020,” katanya.

    Pengurangan dalam pengawasan hutan akibat konflik dan perpindahan, dan peningkatan suhu dan kemarau “menyediakan tanah yang terdedah untuk kebakaran hutan.”

    Ini sama ada diakibatkan oleh “sebab semula jadi, atau pengeboman dan pertempuran daripada konflik Turkiye-PKK,” tambahnya.

    “Dengan pengurusan hutan yang terhad atau tiada, kebakaran ini boleh menjejaskan kawasan yang lebih besar dan membawa kepada kehilangan hutan,” kata Zwijnenburg.

    Kamaran Osman, pegawai hak asasi manusia daripada organisasi Pasukan Pengaman Komuniti, sementara itu menyatakan bahawa apabila kawasan dibom, “orang ramai tidak boleh pergi ke sana untuk memadamkan api, kerana mereka juga takut dibom.”

    Pihak berkuasa juga sedang mengusahakan hutan baharu dan meningkatkan pengeluaran tapak semaian, walaupun mereka kekurangan sumber manusia dan kewangan yang mencukupi. Masyarakat awam juga turut melibatkan diri. Di Sulaimaniyah yang dikelilingi bukit, aktivis memerangi jentolak dan jengkaut yang memusnahkan lereng Gunung Goizha untuk projek hartanah.

    Di pinggir bandar, kompleks perumahan mewah dan menara kaca berkilat sudah menjulang di lereng bukit.

    Di ibu kota wilayah Arbil, sebuah kempen telah dilancarkan oleh organisasi tempatan bertujuan untuk menanam 1 juta pokok oak.

    Sejak 2021, sebanyak 300,000 pokok telah ditanam, kata Gashbin Idrees Ali, pengurus projek tersebut.

    “Perubahan iklim sedang berlaku dan kita tidak boleh menghalangnya. Tetapi kita harus menyesuaikan diri dengannya,” katanya.

    Pokok oak dipilih kerana ia ‘tidak memerlukan air yang banyak’, katanya.

    “Kami mengawasi pertumbuhan pokok itu selama empat hingga lima tahun dan setelah itu, ia boleh bertahan sehingga ratusan tahun.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda