Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha TelBru, Huawei bangunkan industri ICT

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    SERIA, 18 Jan – Sebagai inisiatif Telekom Brunei Berhad (TelBru) dan Huawei Technologies (B) Sdn Bhd untuk pembangunan bakat ICT tempatan generasi akan datang dan pembangunan industri ICT di negara ini, kedua-dua syarikat berkenaan telah menyumbangkan tajaan peralatan Terminal Talian Optikal (OLT) gentian optik kepada Politeknik Brunei di sini.

    Majlis penyerahan tajaan yang diadakan di Sekolah Sains dan Kejuruteraan Politeknik Brunei di Lumut hari ini, telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TelBru, David Holliday selaku tetamu kehormat kepada Pengarah Politeknik Brunei, Denis Ho Mun Tai.

    Denis Ho Mun Tai dalam ucapannya berharap para pelajar memperoleh kemahiran yang relevan dan latihan teknologi yang sangat penting menjadi bekalan pekerjaan mereka selepas tamat pengajian.

    Beliau juga merakamkan penghargaan kepada syarikat TelBru dan Huawei atas sumbangan tersebut yang akan membantu untuk memastikan program yang relevan di institusi itu akan berterusan bagi memantapkan visinya menjadi sebuah politeknik terkemuka yang melahirkan graduan-graduan berinovatif, mahir dan boleh dipasarkan.

    Dengan penyampaian peralatan OLT kepada Politeknik Brunei, para pelajar bukan sahaja akan dihubungkan dengan rangkaian jalur lebar paling pantas dan paling selamat di negara ini tetapi juga berpeluang untuk mendapatkan latihan praktikal ke atas peralatan berkenaan bagi menggalakkan pemahaman pemasangan teknologi jalur lebar yang lebih luas.

    Ketua Pegawai Eksekutif TelBru berserta rombongan semasa menyaksikan demonstrasi peralatan gentian optik.
    David Holliday (kanan) menyampaikan sumbangan tajaan peralatan OLT kepada Denis Ho Mun Tai.

    Kerjasama industri dan akademik antara TelBru, Huawei dan Politeknik Brunei adalah untuk membantu menyediakan individu berbakat ICT tempatan dalam industri tersebut dan untuk memimpin negara dalam ekonomi digital dalam pelbagai aspek pada masa akan datang sejajar dengan Wawasan Brunei 2035.

    Sementara itu, David Holliday dalam ucapannya pula menekankan, OLT akan memberikan manfaat kepada para pelajar dalam mempelajari bagaimana gentian optik sampai ke rumah pelanggan selain memahami secara teori dan praktikal bagi membantu mereka meningkatkan pengetahuan dan pemahaman tentang teknologi itu.

    Politeknik Brunei menawarkan Program Telekomunikasi dan Sistem Kejuruteraan Tahap 5 yang boleh menggunakan peralatan tajaan itu untuk kajian praktikal mereka pada masa depan terutama dalam penyambungan gentian optik.

    Sebagai rakan dalam penajaan tersebut, Huawei telah menyediakan peralatan sebelum acara tersebut dan akan menyediakan siri latihan bagaimana menggunakan peralatan dan menerangkan mengenai panduan penjagaannya.

    Dengan memberikan sokongan kepada generasi muda negara, TelBru menyediakan kemudahan pembangunan modal insan sebagai sebahagian daripada Wawasan 2035 dalam industri telekomunikasi.

    Inisiatif ini juga akan membangunkan tenaga mahir melibatkan para pelajar dengan pengalaman dan akan memberikan mereka peluang untuk mempraktikkan apa yang mereka pelajari.

    Majlis tersebut diakhiri dengan lawatan dan demonstrasi peralatan untuk memahami fungsi dan tujuannya selain sesi ramah mesra Ketua Pegawai Eksekutif TelBru dengan para pelajar yang menyertai Program Telekomunikasi dan Sistem Kejuruteraan di Politeknik Brunei, Lumut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda