Wednesday, March 26, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha terhadap Gaza harus ikut pelan Mesir

    ANKARA/ISTANBUL, 24 MAC – Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan kelmarin menegaskan bahawa sebarang usaha berkaitan Gaza harus berasaskan pelan yang dicadangkan oleh Mesir, menurut sumber diplomatik. 

    Pelan Gaza yang dikemukakan oleh Mesir dan disokong oleh semua anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyediakan rangka kerja yang konstruktif, kata Fidan dalam ucapannya pada mesyuarat Kumpulan Hubungan Gaza OIC dan Liga Arab di Kaherah, lapor Anadolu Ajansi. 

    Beliau menekankan bahawa pembunuhan beramai-ramai, pemindahan paksa dan dasar aparteid masih berterusan di Gaza ketika mesyuarat itu berlangsung.

    Merujuk kepada serangan udara Israel pada 18 Mac, Fidan berkata insiden itu menunjukkan Israel mempunyai agenda yang lebih luas.  

    Beliau berkata tindakan Israel menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan serta menyasarkan wilayah Syria dan Lubnan adalah bukti kepada dasar peluasan kuasa rejim Zionis. 

    “Keamanan di rantau ini mustahil selagi Israel tidak dihentikan. Matlamat utama kita haruslah menghentikan kemusnahan di Gaza dan mencapai gencatan senjata berkekalan. Tekanan terhadap Israel perlu dipertingkatkan,” katanya. 

    Fidan turut menegaskan bahawa platform antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) harus dimanfaatkan bagi memastikan gencatan senjata segera dan berkekalan. 

    Pada 4 Mac lalu, sidang kemuncak tergempar negara-negara Arab di Kaherah meluluskan pelan pembinaan semula Gaza bernilai AS$53 bilion yang dirangka oleh Mesir, tanpa memindahkan rakyat Palestin dari tanah mereka. 

    Cadangan dunia Arab itu dibuat selepas bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengemukakan rancangan untuk ‘mengambil alih’ Gaza dan menempatkan semula penduduk Palestin bagi membangunkannya sebagai ‘Riviera Timur Tengah’. Namun pelan itu ditolak oleh negara-negara Arab dan banyak negara lain kerana dianggap sebagai satu bentuk pembersihan etnik. – Bernama/Anadolu 

    Satu perhimpunan menentang operasi Israel di Gaza dan Lubnan yang diadakan di Athens, Greece kelmarin. Usaha terhadap Gaza harus ikut pelan Mesir. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda