Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof menyambut baik cadangan dan saranan ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii mengenai meluaskan Whole Infrastructure Approach untuk menambah connectivity senegara.
Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan, secara dasarnya Broadband Policy masih diguna pakai pada masa ini dan telah dinaik taraf, sejajar dengan Majlis Ekonomi Digital, Pelan Induk Ekonomi Digital 2035.
Menurut beliau lagi, di negara ini infrastruktur itu memang sudah ada hanya, sebilangan tempat dan kawasan terutama di kawasan pedalaman perlu untuk diusahakan lagi.
“Tapi secara umumnya, speed broadband di negara ini adalah yang tertinggi pada masa ini jika dibandingkan dengan negara-negara ASEAN yang lain,” jelasnya.
Bukan setakat itu, tambah beliau, jika dilihat dari segi harga penggunaan broadband per kapita, Brunei adalah salah sebuah negara yang mempunyai harga rendah pada masa ini untuk mobile broadband dan secara keseluruhannya, banyak perlu dibuat dan akan terus diusahakan.
