Oleh Yusrin Junaidi –
Pendidikan di Negara Brunei Darussalam telah mengalami perkembangan signifikan selama beberapa dekad terakhir bermula dengan struktur sistem pendidikan, kokurikulum, peningkatan infrastruktur, perkembangan sumber daya manusia, perkembangan teknologi dalam pendidikan, pendigitalan pendidikan, pendidikan Islam dan banyak lagi.
Secara keseluruhan, Negara Brunei Darussalam terus berusaha untuk meningkatkan kualiti dan ruang akses pendidikan bagi seluruh rakyat dan penduduknya dengan fokus kepada pembangunan infrastruktur, perkembangan kokurikulum yang relevan dan integrasi teknologi dalam pembelajaran.
Tidak dapat dinafikan bahawa guru juga memainkan peranan yang amat penting sebagai pemacu transformasi dan pendidik golongan muda generasi baharu supaya mereka dapat menjadi individu yang berfikiran rasional, inovatif, kreatif serta mempunyai daya tahan fizikal dan mental yang tinggi.
Oleh itu, amat penting bagi seorang guru memiliki sahsiah yang teguh dan tinggi yang boleh dicontohi sebagai seorang guru berkualiti. Guru berkualiti merupakan guru yang mempunyai pengetahuan yang luas dan mendalam mengenai aspek dan bidang pengajaran serta pembelajaran yang sesuai dengan tahap kebolehan pelajar.
Ini didorong oleh ciri-ciri sikap yang berkualiti termasuk sentiasa berfikiran positif, terbuka, peka dan responsif dalam mengikuti trend serta evolusi pendidikan yang dinamik.



Guru sebagai pemacu adalah penggerak yang menggerakkan sesuatu usaha dengan cepat serta berkesan untuk mencapai sasaran yang dihasratkan.
TRANSFORMASI PENDIDIKAN
Transformasi bererti perubahan terhadap sifat, sikap, fungsi dan tingkah laku ke arah yang lebih baik. Pendidikan pula merupakan proses atau aktiviti yang dijalankan secara sistematik dalam mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran untuk mengembangkan potensi diri pelajar.
Sementara itu, transformasi pendidikan merujuk kepada proses perubahan dalam memajukan perkembangan sistem pendidikan Negara Brunei Darussalam yang berpaksikan nilai-nilai murni ajaran Islam dan tadbir urus yang menerapkan prinsip Maqasid Syariah.
Salah satu aspek penting dalam proses berkenaan ialah penekanan terhadap pembangunan profesional guru yang bersandarkan kompetensi dan kemahiran yang diperlukan menerusi kepelbagaian program dan latihan pembangunan yang relevan serta terancang.
Kepentingan pembangunan dan pengupayaan sedemikian adalah selaras dengan hasrat untuk melahirkan warga pendidik yang berkualiti tinggi, yang memiliki sahsiah yang teguh, berfikiran rasional, inovatif, kreatif serta mempunyai daya tahan dan jati diri yang kental dengan terus peka kepada trend evolusi pendidikan global.
MEREALISASIKAN MATLAMAT 1 WAWASAN BRUNEI 2035
Sektor pendidikan terus memainkan peranan penting dalam merealisasikan Matlamat 1 Wawasan Brunei 2035 iaitu rakyat yang berpendidikan tinggi, berkemahiran dan berjaya.
Bagi merealisasikan hasrat itu, ia memerlukan sektor berkenaan untuk meneroka pendekatan dan kaedah baharu dalam konteks transformasi pendidikan yang mampu memberikan impak positif besar terutamanya ke atas pengajaran dan pembelajaran di setiap institusi pendidikan di Negara Brunei Darussalam.
Oleh itu, keberkesanan dalam sistem pendidikan itu nanti akan diterjemahkan sebagai berupaya membekalkan pelajar-pelajar dengan pengetahuan serta kemahiran yang diperlukan bukan sahaja dari sudut kejayaan dalam kehidupan tetapi juga menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara yang merentas pelbagai bidang di mana mereka akan menjadi aset negara yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya.
ASAS PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK DAN SEKOLAH BERKEPERLUAN KHAS
Dalam menjana transformasi pendidikan, tidak kurang pentingnya untuk menitikberatkan kepentingan pendidikan awal kanak-kanak sebagai asas kukuh kepada pembangunan kemahiran kognitif, kreativiti dan keyakinan mereka.
Sehubungan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sukacita memperkenankan bagi pindaan ke atas Akta Pendidikan Wajib Penggal 211, yang berkaitan dengan umur wajib kanak-kanak bersekolah di negara ini iaitu dari enam tahun kepada lima tahun, untuk mengukuhkan lagi pendidikan awal kanak-kanak yang merupakan aspek utama dalam membina asas keupayaan kognitif, aspek sosial dan emosi kanak-kanak.
Selain itu, kesejahteraan dan pendidikan pelajar-pelajar berkeperluan khas turut diberikan perhatian sewajarnya. Hasilnya, Bangunan Sekolah Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam telah mula beroperasi sejak bulan Januari setelah mendapat kebenaran dari Kementerian Pendidikan.
“Beta mengambil maklum mengenai penubuhan sekolah khas pertama di negara ini.
Penubuhan ini tidak syak lagi telah berjaya melakar satu lagi pencapaian dan sistem pendidikan negara, dan diharapkan ia akan menjadi pemangkin kepada masyarakat secara umum untuk sama-sama memeduli kesejahteraan pelajar-pelajar berkeperluan khas,” demikian menurut titah Baginda Sultan.
Semua tindakan tersebut sejajar dengan tujuan strategik Kementerian Pendidikan untuk memastikan kesaksamaan dalam pendidikan sebagai asas utama dalam penyediaan pendidikan yang berfokus pada praktik pedagogi berkualiti tinggi.
POTENSI TEKNOLOGI DIGITAL DALAM PENDIDIKAN
Bagi meraih potensi teknologi digital yang ada pada masa ini, semua pihak terutamanya para guru harus sama-sama memainkan peranan dalam memastikan kejayaan sepenuhnya transformasi digital yang diterokai dalam sistem pendidikan negara.
Apa yang pasti ialah keberhasilan yang disasarkan menerusi kecanggihan pendekatan serta kaedah baharu dalam pengajaran dan pembelajaran yang dapat membantu meningkatkan lagi pencapaian setiap pelajar.
Namun, dalam mengadaptasikan kemodenan era teknologi digital, sistem pendidikan negara akan terus menekankan soal adab orang Brunei yang berlandaskan falsafah negara, Melayu Islam Beraja dengan sentiasa berpegang teguh kepada nilai-nilai dan ajaran agama Islam.
Keperluan dalam memacu transformasi pendidikan dari peringkat awal kanak-kanak memerlukan para guru untuk sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan sesuai dengan tuntutan kemahiran abad ke-21 supaya terus berupaya menelusuri arus perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan dari semasa ke semasa.
Guru berkualiti tidak dinafikan mampu menyuntik dan memacu semangat para pelajar untuk sentiasa memiliki minda yang cenderung ke arah pembelajaran sepanjang hayat, terdorong bagi mengasah kemahiran mereka ke tahap tertinggi serta meneroka peluang-peluang untuk membuktikan kebolehan mereka menurut sukat-sukat antarabangsa dan merealisasikan matlamat wawasan 2035.
PENGINTEGRASIAN SEKOLAH AGAMA
Pada menjunjung titah Baginda Sultan sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kali ke-39 bagi Tahun 2023, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan telah mengumumkan Pelaksanaan Pengintegrasian Mata Pelajaran Ugama ke Dalam Sistem Pendidikan Umum yang telah dilaksanakan pada 1 November 2023.
Melalui pengintegrasian itu, mata-mata pelajaran yang lazimnya diajarkan di sekolah-sekolah ugama telah diserapkan ke dalam kurikulum pendidikan umum di sekolah-sekolah rendah kerajaan dan swasta termasuk sekolah-sekolah antarabangsa.
Pengintegrasian tersebut hanya melibatkan pelajar-pelajar yang sedang menuntut di peringkat Pra sehingga Darjah 3.
Antara tujuan pengintegrasian tersebut adalah untuk menjaga kesejahteraan pelajar dengan mengurangkan beban kerja pelajar dan mengurangkan masa berada di sekolah, yang akan meningkatkan lagi keseimbangan hidup dan kesihatan mental para pelajar.
PENGHARGAAN USAHA KERAS GURU-GURU
Dalam memandaikan anak-anak bangsa, Kementerian Pendidikan juga tidak melupakan jasa pihak-pihak yang terlibat.
Pada 6 Julai yang lalu, seramai 323 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan termasuk tenaga pengajar di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi diraikan dan menerima Pingat Kerja Lama (PKL) dalam Majlis Penyampaian Pengurniaan Pingat-pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam, PKL bagi Tahun 2023.
Seorang tenaga pengajar di Mahad Islam Brunei, Tutong, Awang Hairul Bahrin bin Haji Bagol yang sempat ditemui oleh Media Permata melahirkan rasa syukur atas penghargaan yang diberikan.
“Sepanjang berkhidmat, sokongan dan dorongan daripada pihak atasan serta latihan-latihan yang diberikan telah membantu untuk terus meningkatkan kemahiran dan pengetahuan saya.
“Semua ini memberi keyakinan dan motivasi untuk terus berusaha dan mencapai kecemerlangan dalam perkhidmatan saya,” katanya.

