Oleh Mohamad Asyramisyanie
Gambar oleh Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Nov – Jabatan Pendidikan Kokurikulum melalui Unit Perkembangan dan Latihan Sukan dengan kerjasama dan bantuan Kedutaan Australia dan Netball Australia mengendalikan acara pembukaan Bengkel Pengadil Bola Jaring bagi pengadil-pengadil bola jaring dan guru-guru sekolah-sekolah rendah, menengah, maktab-maktab dan pendidikan swasta seluruh negara tahun 2017 di Dewan Kuliah Sekolah Sukan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Unit Perkembangan dan Latihan Sukan JPKK, Haji Norudin bin Haji Putih.
Bengkel berkenaan diadakan selama empat hari bermula pada 6 sehingga 9 November 2017 dan seramai 33 orang pengadil bola jaring telah dipilih untuk mengikuti bengkel ini.
Fasilitator bagi bengkel ini ialah Siti Rauufah binti Haji Omarali dan melibatkan Dianne Cocker, ‘AA’ Badge Umpire dari persatuan bola jaring Australia sebagai jurulatih umpire dan dibantu oleh Pengiran Abdul Azim bin Pengiran Asmadi dari Sekolah Rendah Dato Yassin, ‘C’ Badge Umpire, Persatuan Bola Jaring Kebangsaan, Brunei Darussalam.


Matlamat bengkel ini diadakan adalah untuk menambah keramaian guru-guru yang boleh mengadili permainan dan memberikan pengetahuan asas dan protokol semasa mengadili sesuatu perlawanan.
Ia juga dihasratkan akan menanamkan sifat percaya diri,yang mesti ada pada diri seorang pengadil dan memberikan kefahaman mengenai peraturan-peraturan permainan bola jaring yang terbaru, selaras dengan objektif bagi bengkel ini iaitu supaya guru-guru akan dapat mempelajari teknik-teknik pengadilan yang juga digunakan di peringkat antarabangsa.
Dalam kursus ini, para peserta turut didedahkan kepada prosedur/protokol dan personaliti yang perlu ada pada diri seorang pengadil.