Usaha tingkatkan pengadil berkelayakan

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Persatuan Bola sepak Amatur Daerah Tutong (TDAFA) telah mengambil inisiatif untuk meningkatkan jumlah pengadil yang berkelayakan untuk mengadili perlawanan bola sepak di peringkat daerah dan liga kebangsaandi Negara Brunei Darussalam, bagi menunjukkan contoh kepada daerah-daerah lain.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD), Pengiran Haji Aliudin bin Pengiran Haji Tajuddin menekankan perkara tersebut dalam ucapan alu-aluannya semasa melancarkan Kursus Asas Pengadil Bola Sepak di Ibu Pejabat TDAFA di Daerah Tutong baru-baru ini.

Pengiran Haji Aliudin turut mengucapkan tahniah kepada Presiden TDAFA, Haji Othman bin Haji Ghazali dan semua ahli jawatankuasa kerana mengadakan kursus pengadil tersebut.

Beliau turut memuji Pengarah Pengadil NFABD, Abdul Razak bin Anuar dan tenaga pengajar.

Kursus yang dianjurkan oleh Persatuan Pengadil Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama NFABD dan TDAFA itu disertai seramai 10 orang pengadil dan diadakan selama empat hari yang akan berakhir pada 28 Februari nanti.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Timbalan Presiden I TDAFA, Haji Takong bin Ahmad, Timbalan Presiden II TDAFA, Awang Bujang bin Haji Japar, Setiausaha Am TDAFA, Awang Matusin bin Sumpong dan Presiden Persatuan Pengadil Negara Brunei Darussalam, Haji Hamidon bin Haji Mohd Zin.

Pengiran Haji Aliudin bersama peserta kursus bergambar ramai semasa majlis tersebut.- Gambar serahan NFABD