Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Okt – Dalam usaha untuk meningkatkan lagi perkhidmatan penjagaan kesihatan khusus, Jerudong Park Medical Centre (JPMC) mengalu-alukan kedatangan seorang pakar perubatan yang berpengalaman dalam bidang Gastroenterologi dan Hepatologi dari Singapura sebagai doktor konsultan pelawat di JPMC.
Dr. Taufique Ahmed, konsultan gastroenterologi dan hepatologi yang berpangkalan di Singapura kini mula berkhidmat selama tiga hari pada hujung minggu di JPMC.
Warga Britain berkenaan merupakan Ketua Klinikal untuk Hepatologi di Hospital Khoo Teck Puat dan juga seorang perunding pelawat di Hospital Singapore General.
Dalam temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini, Dr. Taufique menyatakan bahawa beliau begitu teruja apabila diberikan peluang untuk berkhidmat di JPMC walaupun hanya pada hujung minggu. Dr. Taufique Ahmed telah mula berada di JPMC beberapa minggu yang lalu dan beliau begitu gembira kerana dapat bekerjasama dengan pasukan gastroenterologi di JPMC.
Beliau menyatakan lagi, JPMC merupakan sebuah pusat yang menawarkan pelbagai perkhidmatan terbaik.

Dr. Taufique menamatkan pengajiannya dari Sekolah Perubatan Hospital St George, University of London dan merupakan ahli Royal College of Medicine dan Royal College of Surgeons of England serta Felo Akademi Perubatan Singapore Chapter of Gastroenterologists. Beliau menamatkan latihan kepakarannya di Singapura dan felo sub pengkhususan di Unit Hati di Kings College Hospital, United Kingdom.
Beliau menjelaskan lagi, bidang kepakarannya adalah hepatitis virus, ‘fatty liver’ dan kanser hati. Beliau mengendalikan kedua-dua masalah gastroenterologi dan hepatologi yang biasa.
“Bidang kepakaran saya secara khususnya adalah hepatologi dan secara keseluruhannya gastroenterologi. Saya sering kali mengendalikan pesakit yang mengalami sakit perut atau cirit birit jika mereka mempunyai masalah gastro. Bagi pesakit hepatologi pula, pesakit yang mempunyai ‘fatty liver’ atau hepatitis.”
Ditanya lebih lanjut mengenai masalah hati di sini, beliau berkata, terdapat banyak kes penyakit hati berlemak di sini, sekali gus secara perlahan-lahan meningkatkan keperluan pemindahan hati yang mungkin perlu dilakukan di luar negara, tetapi dengan perkhidmatan selepas pemindahan dilakukan di Brunei.
Menurutnya lagi, bentuk penyakit hati yang paling biasa adalah penyakit hati berlemak iaitu orang yang mempunyai berat badan berlebihan, kencing manis, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan lain-lain.
Di samping itu, Hepatitis B juga merupakan penyakit biasa yang mana di Singapura sebanyak 5.5 peratus penduduk mempunyai Hepatitis B. Terdapat juga Hepatitis C, di mana orang boleh mendapatnya daripada penggunaan dadah intravena misalnya.
Katanya lagi, Brunei tidak mempunyai jumlah kes besar untuk memerlukan tahap kepakaran pemindahan hati di negara ini, oleh itu pesakit dihantar ke luar negara.
Dr. Taufique menyeru agar masyarakat di negara ini akan sentiasa peka dalam menjaga pemakanan agar dapat mengelakkan penyakit-penyakit yang tidak diingini berlaku serta akan sedar bahawa menjaga kesihatan adalah begitu penting untuk mendapat hidup yang selesa dan ceria.