Penat kumpul duit, namun, usaha penyanyi Zaki Yamani, 16, membuka gerai makanan dan minuman di sebuah medan selera di Kajang, Selangor disalah erti.
Anak kepada Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah itu nyata kecewa apabila usahanya menjana pendapatan bagi membantu ibunya dan keluarga dilemparkan persepsi bukan-bukan.
Ada yang mendakwa penyanyi lagu Percayaku dan Slowmo itu membuka gerai Ngopi Dulu Yop yang menyajikan menu makanan segera inspirasi dari Korea Selatan dan minuman berasaskan kopi sejak dua bulan lalu menggunakan duit bapanya.
Tidak mampu menyembunyikan perasan marah, Zaki mengakui, dia bengang dengan tuduhan sesetengah pihak tanpa usul periksa dan menuduhnya menggunakan duit bapanya untuk membuka gerai.
“Orang yang kaya dan popular itu ‘baba’ saya. Selama ini, penat saya kumpul duit hasil buat ulasan produk berbayar dalam media sosial, YouTube dan berusaha hingga raih kejuaraan dalam program Famili Duo di TV3, namun, sedap mulut sahaja lempar pelbagai tuduhan.

“Duit itu jugalah saya simpan untuk membuat modal memulakan perniagaan. Malah, ibu saya turut mengeluarkan duit simpanan untuk merealisasikan impian kami membuka gerai,” katanya kepada media.
Katanya, dia berasakan tiada keperluan bagi sesiapa untuk bercakap perkara yang tidak baik.
“Namun, itulah lumrah hidup manusia. Ada sahaja yang tidak puas hati.
“Bukankah lebih baik jika tiada benda baik nak bercakap, diam sahaja atau jangan komen apa-apa yang boleh membuat orang lain terasa hati.
“Saya buka gerai pun ada warganet yang nak mengecam, bukan nak beri sokongan, apatah lagi, membelinya.
“Golongan warganet ini tahu nak kecam dan melemparkan fitnah sahaja. Saya nak tanya, salahkah seorang anak nak bantu ibu dan keluarga?
“Saya tahu bagaimana nak bahagikan masa antara pelajaran dan menguruskan perniagaan,” katanya.
Kata Zaki, idea membuka perniagaan dicetuskan olehnya dan ibu.
“Ibu sudah tidak berkerja lagi. Saya pula tidak boleh mengharapkan duit undangan persembahan, tambahan lagi, ketika era pandemik ini.
“Jadi, kami kenalah cari pendapatan lain untuk menampung hidup kami sekeluarga. Sewa rumah nak bayar, saya pun masih bersekolah, jadi bukankah semua ini memerlukan perbelanjaan.
“Saya dan ibu merasakan membuka gerai makanan dan minuman salah satu cara untuk menjana pendapatan. Alhamdulillah, setakat ini, sambutan amat baik daripada pelanggan. – Agensi