Saturday, March 15, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usahawan belia berdaya saing pacu ekonomi negara

    Oleh SIM Y. H.

    Gambar serahan Kementerian Tenaga

    Golongan usahawan belia mampu memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi tempatan serta untuk menjana peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan.

    Dalam hubungan itu, sebagai satu inisiatif baharu untuk menyediakan peluang-peluang perniagaan kepada usahawan belia tempatan supaya mereka mampu menyertai secara kompetitif dalam kontrak atau tender berisiko rendah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan melancarkan Program i-Usahawan pada 1 Ogos 2018 bersempena dengan Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-13.

    Program berkenaan bermula dengan 30 kontrak daripada industri minyak dan gas dan kini, ia telah berkembang untuk meliputi 42 kontrak sektor tenaga daripada kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta badan-badan berkanun.

    Pada masa yang sama, beberapa kontrak juga sedang dikenal pasti bagi sektor-sektor lain. Kontrak yang dianugerahkan adalah bagi syarikat yang dikendalikan dan diurus 100 peratus oleh anak tempatan iaitu daripada pemilik kepada pengurusan dan kakitangan perniagaan berkenaan.

    Program i-Usahawan dimulakan oleh Kementerian Tenaga dan aktiviti-aktivitinya dalam sektor tenaga terus diterajui oleh kementerian berkenaan bagi menyokong usaha negara ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk meningkatkan ekonomi dan membangunkan keupayaan tempatan dengan mengutamakan penyertaan perniagaan tempatan dalam sektor tenaga.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan melancarkan Program i-Usahawan pada 1 Ogos 2018 bersempena Hari Belia Kebangsaan ke-13.
    Syarikat Amira Barakah menyediakan perkhidmatan kantin dan mesin layan diri di Ibu Pejabat Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd.
    Jezemm Services menyediakan perkhidmatan pemuliharaan landskap dan hortikultur bagi kawasan-kawasan bukan hidrokarbon BSP.

    Menerusi Program i-Usahawan, usahawan belia yang menyertai program berkenaan akan menjalani Latihan PKS sebelum mereka mengambil bahagian dalam tender tersebut di mana latihan berkenaan dikendalikan oleh Energy Business Academy yang diurus oleh Brunei Shell Joint Venture Companies (BSJV) atau Industry Business Academy yang di bawah bidang tugas Darussalam Enterprise (DARe).

    Beberapa modul latihan termasuk proses perolehan, pengurusan sumber manusia, proses tender kerajaan dan pengurusan HSSE. Usahawan-usahawan yang menyertai program berkenaan juga digalakkan untuk mendaftar dan menghadiri pelbagai program keusahawanan yang ditawarkan oleh DARe seperti Micro Bootcamp dan Start-Up Bootcamp.

    Program i-Usahawan telah mencapai satu mercu tanda pada 6 Mac 2019 dengan majlis penandatanganan pertama yang melibatkan tiga perniagaan tempatan iaitu Syarikat Amira Barakah yang dianugerahkan kontrak untuk menyediakan perkhidmatan kantin dan mesin layan diri (vending machine) untuk Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, Syarikat Munch Bunch Canteen dianugerahkan kontrak bagi menyediakan perkhidmatan pembersihan serta Syarikat Mortar Events dianugerahkan kontrak perkhidmatan pengurusan acara di mana kedua-dua kontrak dianugerahkan oleh Brunei Gas Carriers Sdn Bhd. Ia juga telah menyaksikan sebanyak 11 kontrak dianugerahkan di bawah program berkenaan.

    Melalui 14 kontrak yang telah dianugerahkan itu, lebih daripada 170 orang pekerja tempatan telah mendapat pekerjaan dengan syarikat-syarikat berkenaan. Semasa tempoh pelaksanaan kontrak, usahawan-usahawan diberikan bimbingan yang betul untuk membantu dalam membangunkan kemahiran keusahawanan dan perniagaan serta juga untuk memastikan mana-mana cabaran dapat diuruskan secara strategik.

    Kementerian Tenaga turut mengadakan pemantauan berterusan pembangunan perniagaan melalui pertemuan setiap suku tahun dengan para usahawan dan pemilik kontrak berkenaan.

    Kementerian Tenaga turut mengalu-alukan semua belia tempatan Brunei yang ingin mengambil bahagian dalam program yang dilancarkan. Mereka mestilah dalam lingkungan usia 18 hingga 40 tahun, tidak mempunyai kontrak terdahulu dengan kerajaan, GLC dan badan-badan berkanun dalam tempoh lima tahun lalu serta mesti terlibat aktif dalam operasi harian perniagaan.

    Syarikat-syarikat yang berjaya harus diperbadankan sebagai syarikat sendirian berhad apabila diberikan kontrak. Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Program i-Usahawan boleh memperoleh maklumat berkenaan daripada laman sesawang Kementerian Tenaga di http://me.gov.bn/iusahawan/Home.aspx.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda