Friday, February 7, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usahawan kongsi keunikan masakan Sarawak

    KUALA LUMPUR – Rasa cinta yang mendalam terhadap negeri kelahirannya, menyebabkan seorang usahawan Sarawak mengambil keputusan untuk memperkenalkan beberapa hidangan lazat di negeri itu sempena sambutan Gawai Dayak baru-baru ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif Freshable, syarikat perkhidmatan kit makanan, Adeline Tang berkata beliau ingin berkongsi keunikan masakan Sarawak dengan rakyat Malaysia, membolehkan mereka memahami keistimewaan sebagai rakyat Sarawak melalui pengalaman memasak di dapur mereka sendiri.

    “Sarawak merupakan negeri yang hebat dan adalah memalukan apabila masih ramai yang kurang mengetahui mengenai negeri itu, tempatnya, kepelbagaian kaum dan sudah pasti pelbagai makanan yang enak!

    “Banyak kenangan indah saya semasa zaman kanak-kanak, menikmati sajian Sarawak seperti Ayam Pansoh dan Ka Chan Ma bersama keluarga dan rakan-rakan.

    Pengalaman itu yang saya mahu kongsi bersama semua sempena sambutan Gawai Dayak,” katanya kepada Bernama, sambil menambah perayaan itu tidak begitu difahami oleh orang luar, terutamanya di Semenanjung Malaysia. 

    Antara sajian istimewa yang diperkenalkan semasa sambutan Gawai Dayak. – Bernama

    “Sebenarnya ia merupakan perayaan kehidupan.

    Seluruh masyarakat Sarawak meraikan bersama-sama sambil menikmati sajian yang enak dan bersyukur atas apa yang dikurniakan kepada kita semua,” katanya.

    Atas dasar itu, Adeline mempromosikan kit makanan itu melalui perniagaan yang diasaskannya pada tahun lepas, yang bukan hanya untuk memperkenalkan sajian Sarawak malah termasuk bahan masakan unik yang terdapat di Bumi Kenyalang itu.  

    “Bagi sambutan Dayak Gawai, kami telah menyediakan kit hidangan sedia untuk dimasak bagi mereka yang mahu mencuba sendiri memasak sajian Sarawak.

    Kami mempunyai beberapa bahan istimewa yang diterbangkan dari Sarawak, seperti pes laksa Sarawak, belacan serta rempah ratus dan herba,” katanya dan menambah kit makanan Freshable disertakan dengan kad resipi ringkas yang mudah untuk dimasak malah sesuai untuk individu yang baru hendak mencuba. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda