Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OGOS – Sempena sambutan Hari Belia Kebangsaan, Bank Baiduri dan Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB) bekerjasama untuk menganjurkan perbincangan panel yang menarik di Youth Connect Open Space, yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, kelmarin.
Acara tersebut telah menampilkan kumpulan usahawan muda yang berjaya dan pakar kewangan di Brunei, yang berkongsi pengalaman, pandangan dan pengetahuan mereka mengenai topik ‘Belia Membuka Jalan ke arah Pertumbuhan Mampan’ dengan dikendalikan oleh blogger dan influencer terkenal Brunei, Dayang Maurina binti Abdul Hamid.
Ahli-ahli panel terdiri daripada Ketua Perbankan Perniagaan di Bank Baiduri, Awang Mohammad Isa Liew bin Mohd Amin Liew; Pengasas Grocer Local Enterprise, Awang Mudza’ffar Rafae’a; Pengasas Restoran Chef Q Wok & Grill, Pengiran Mohd Abdul Qayum; Pengasas Fatin’s Florette, Dayangku Fatin Afiqah; dan Pengasas Adreana Shawls, Dayang Adriana Farhana.
Perbincangan panel itu merupakan peluang yang luar biasa untuk semua belia yang hadir, tanpa mengira latar belakang, daripada industri berbeza termasuk perniagaan, teknologi dan media kreatif.
Usahawan-usahawan telah mengongsikan pandangan dalam perjalanan keusahawanan mereka dan bagaimana ia boleh menyumbang kepada matlamat Wawasan Brunei 2035 dan Revolusi Perindustrian 4.0, termasuk penglibatan automasi termasuk robotik atau kecerdasan buatan (AI) dalam penskalaan perniagaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P8-YEAB_04082023.jpg)