Gambar Bernama
KUALA LUMPUR – Berniaga dalam talian boleh dikatakan menjadi penyambung kehidupan bagi banyak pihak ketika negara dilanda pandemik COVID dan apabila kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Inilah yang dilakukan oleh anak muda dari Kota Bharu, Kelantan, Nur Aina Balkhis Zumri, 22, untuk menyelamatkan perniagaan batik ayahnya yang diusahakan sejak empat dekad lalu.
Pandemik COVID boleh dikatakan ‘melumpuhkan’ perniagaan batik milik bapanya, Zumri Hassan, 61, yang beroperasi di Wakaf Che Yeh kerana terpaksa dihentikan akibat pelaksanaan PKP.
Sekadar membantu
Menurut gadis kecil molek yang lebih mesra disapa Aina, situasi tiga tahun lepas sangat sukar kerana bapanya menyiapkan ratusan helai kaftan batik untuk dijual kepada orang ramai menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Abah saya merupakan peniaga batik sejak tahun 1980-an secara kecil-kecilan dengan mengambil stok batik dari pembekal termasuk dari Indonesia.
“Sekitar tahun 1990, abah mula meluaskan perniagaannya dengan membuka premis perniagaan di Wakaf Che Yeh dan lapan tahun kemudian abah mula mengeluarkan produk baju kelawar batik menggunakan jenama Mutiara Batik Ketika itu baju berkenaan dilukis tangan sepenuhnya oleh abah dengan dibantu tiga pekerja,’’ katanya kepada Bernama.
Perniagaan bapanya bagaimanapun terjejas teruk pada tahun pertama COVID melanda negara susulan PKP sehingga menyebabkan stok kaftan yang disediakan lebih awal untuk Aidilfitri tidak dapat dijual.
Tidak mahu melihat bapanya terus menanggung kerugian, anak jati Kota Bahru itu bertekad membantu menjual kaftan secara dalam talian apabila melihat laman sosial adalah platform terbaik untuk memasarkan produk tersebut.
“Ketika berfikir bagaimana saya boleh membantu abah, terdetik di hati saya untuk menjual secara langsung di Facebook apabila melihat medium tersebut digunakan ramai peniaga bundle untuk menjual barangan mereka kerana berniaga secara fizikal waktu itu tidak dibenarkan.
“Jadi saya mula memberanikan diri menjual batik kaftan abah menerusi Facabook live setiap hari dan saya sendiri tidak sangka kaftan tersebut laris seperti pisang goreng dan habis dijual tidak sampai tiga bulan,’’ katanya menambah, yang membuatkan beliau lebih teruja apabila pelanggan kaftan batik tidak terhad dari negeri kelahirannya sebaliknya seluruh negara termasuk negara jiran, Singapura.
Guna label sendiri
Setelah melihat kegigihan Aina memasarkan kaftan, bapanya kemudian menyarankan Aina turut mengendalikan perniagaan berkenaan.
Menyedari hakikat sukar mengekalkan legasi perniagaan itu, pemegang Diploma Sains dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tapah itu berkata, dorongan kuat bapanya membuatkan beliau tidak ragu-ragu untuk memikul tanggungjawab berkenaan.
“Apabila diberi tanggungjawab ini, pada permulaannya saya juga tidak yakin tetapi selepas membantu abah menjual kaftan, saya dapat rasakan saya sudah mula jatuh hati untuk menguruskan perniagaan kaftan batik ini.
“Ketika itu saya masih belum bekerja selepas menamatkan pengajian, jadi tidak salah sekiranya saya mencuba untuk terjun dalam bidang kaftan batik ini serta belajar bagaimana proses penghasilan kaftan batik bermula daripada proses mencanting dan mewarna sehinggalah kepada memasarkan produk berkenaan,’’ katanya.
Anak kelima daripada lapan beradik itu berkata, selepas setahun mengendalikan perniagaan kaftan batik dengan kepercayaan bapanya, beliau kemudian memutuskan untuk memberi nafas baharu dengan mempelbagaikan koleksi kaftan batik selain memasarkannya menggunakan label Aina Balkish.Co.
“Saya menggunakan label nama saya sendiri sebab nak tengok sejauh mana saya boleh pergi dalam bidang ini… dengan bantuan ahli keluarga serta sembilan orang tenaga kerja termasuk pekerja abah sebelum ini, bagi saya ia cukup memadai untuk saya kembangkan lagi pasaran kaftan batik ini,” tambahnya.
Evolusi kaftan batik
Melihat kepada trend kaftan terkini, Aina membulatkan hati untuk menambah variasi kaftan batik mengikut konsep ‘siap untuk dipakai’ yang sesuai untuk dipakai secara santai mahupun formal.
Ini memandangkan imej kaftan atau baju kelawar yang diperbuat daripada fabrik kapas dengan potongan longgar dan ringkas disifatkan sangat selesa dan sememangnya menjadi pilihan wanita.
“Sebelum ini baju kelawar sering dimomokkan dengan pakaian wanita kampung dan pakaian malam kerana ia selesa dipakai di rumah kerana bentuknya yang tidak berlengan.
“Namun anjakan arena fesyen Malaysia yang ke hadapan secara tidak langsung fesyen kaftan batik yang sememangnya popular di Kelantan dan Terengganu turut berubah mengikut peredaran masa,” katanya.
Meskipun masih mengekalkan fabrik kapas, kaftan batik Aina Balkhis.Co diberi sentuhan moden dan kontemporari dengan corak dan warna yang lebih menyerlah bagi menambat hati penggemar kaftan.
Menurut Aina, kaftan batik bukan sekadar untuk dipakai di rumah malahan dengan fesyen kaftan terkini ia boleh dipakai di majlis rasmi termasuk kenduri kahwin, majlis makan malam selain digayakan pada musim perayaan dan ke pejabat.
“Kita telah pelbagaikan rekaan kaftan batik di bawah label Aina Balkhis.Co ini, saya tidak hanya keluarkan kaftan yang asas tetapi juga kaftan batwing, pario, plus size, kaftan lengan panjang dan pendek serta kaftan yang diperincikan dengan batu tabur.
“Begitu juga dengan corak dan warna, jika kaftan batik yang dikeluarkan abah sebelum ini lebih kepada corak abstrak dan flora kita pelbagaikan dengan motif yang lebih menonjol, rona pastel dan terang bagi menarik minat wanita muda untuk memakainya.
“Kami juga masih mengekalkan motif flora dan corak batik tradisional sebagai ‘signature’ kami serta mengeluarkan corak yang comel seperti karakter kartun hello kitty, mickey mouse dan teddy bear, makanan seperti donut, cup cake dan aiskrim serta haiwan seperti rama-rama dan pepatung sebagai tarikan,” katanya menambah pendekatan itu ‘menjadi’ apabila batik corak comel mencapai ‘hot selling’ dan keluarannya sentiasa ditunggu-tunggu oleh golongan muda.
Pemasaran dalam talian
Walaupun produk kaftan batik hanya dijual sepenuhnya secara dalam talian, namun ia tidak menghalang Aina untuk memperluaskan pasaran kaftan tersebut kerana ia mempunyai peminatnya tersendiri.
“Sebelum ini apabila kaftan ini dijual di kedai di Wakaf Che Yeh, kebanyakan pembeli adalah dari negeri luar bukannya dari Kelantan, kemungkinan orang-orang di sini juga tidak berapa berminat dengan kaftan.
“Tetapi apabila dijual secara dalam talian, kita lihat pasaran itu lebih besar, daripada Facebook live selepas itu kita beralih pula kepada TikTok live sejak setahun lepas, bukan sahaja kita berjaya tawan pasaran Malaysia tetapi kita juga ada pelanggan tetap dari Singapura selain kita pernah dapat pelanggan dari Mauritius,” tambahnya.
Meskipun wujud persaingan daripada peniaga kaftan yang lain, Aina tetap optimis dan berbangga dengan pencapaiannya menguruskan perniagaan kaftan batik apabila secara purata mampu menjual sebanyak 1,000 helai kaftan batik dalam masa sebulan menerusi platform media sosial.
“Sehelai kaftan ini kita jual antara harga RM30 hingga RM300 bergantung kepada design, potongan cutting dan corak yang dihasilkan, dan kami boleh keluarkan kaftan ini antara 20 ke 30 helai, sehari.
“Motif yang paling sukar dilakar adalah corak floral atau design batik tradisional. Alhamdulilah setakat ini keuntungan (bersih) mampu mencecah sehingga RM10,000 sebulan dan saya lega sebab saya boleh dapat ‘balik modal’ untuk teruskan perniagaan dan dapat kekalkan perniagaan kaftan ini,’’ katanya.
Aina dalam masa sama sentiasa mencari idea baharu dan mahu menjadi lebih kreatif dalam menghasilkan produk kaftan batiknya supaya kekal relevan seiring peredaran zaman.
“Setakat ini perniagaan saya banyak beroperasi di rumah, cuma untuk proses mencanting dan mewarna sahaja kami ada kilang kecil di sini (Kota Bharu) yang hanya boleh menempatkan tiga pelukis batik dan seorang pekerja yang ditugaskan untuk menjahit kaftan ini.
“Sekiranya ada rezeki lebih, saya harap dapat perbesarkan lagi perniagaan ini dengan menambah pekerja, ada premis perniagaan untuk menjual dan mempamerkan kaftan batik serta kilang pembuatan yang berkeupayaan mengeluarkan produk dengan jumlah yang lebih besar dan selesa,’’ katanya.- Bernama