MADINAH, 1 JUN – The Prayer Mat Sdn Bhd (TPM), pengedar sejadah dari Madinah dan Mekah menyasarkan pembukaan 30 cawangan di seluruh Malaysia dengan jualan bernilai RM9 juta pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Siti Norwahida Shukeri berkata pada masa ini, TPM mempunyai 17 cawangan termasuk di Changlun dan Alor Setar, Kedah; Shah Alam dan Bangi, Selangor serta Nilai, Negeri Sembilan, selain mempunyai kira-kira 2,000 penjual semula.
“Kita juga bercadang untuk menembusi pasaran Indonesia, Singapura dan Brunei pada masa depan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Berkongsi mengenai permulaan perniagaannya, Siti Norwahida berkata beliau hanya membantu membelikan sejadah Madinah dan Mekah buat kenalannya di tanah air setelah mendapat tawaran bekerja sebagai pensyarah perakaunan di University of Ha’il, Arab Saudi pada 2019.
Menurutnya, ketika itu beliau tidak mengambil untung dan hanya mengenakan bayaran pos, sebelum melihat potensi perniagaan selepas permintaan semakin bertambah. – Bernama