Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usahawan tempatan raih pengiktirafan

    Oleh Normazlina M.D

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jan – Usaha gigih seorang usahawan tempatan, Dayang Nur Nizaha binti A Bakar mendapat pengiktifaran apabila menerima Anugerah ‘Most Rapid Growth Entrepreneur 2017’ di Thailand, baru-baru ini.

    Usahawan tempatan ‘Jamu No.1 Brunei’ itu menerima anugerah berkenaan pada majlis pengiktirafan buat ahli Titanium anjuran Titanium Award Azizan Osman 2017/2018.

    Ketika ditemubual, Dayang Nur Nizaha yang juga pengasas Zahra Callista menyatakan perasaan sangat terharu dan teruja kerana diberikan pengiktirafan yang tidak dijangkakan.

    Menurutnya, pada mulanya beliau mencuba pelbagai jenis perniagaan dan mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dalam dunia perniagaan.

    Antara perniagaan yang pernah dijalankannya dahulu adalah seperti menjual sate goreng, mee kari, berjual makanan di bulan puasa, menjahit pakaian, bak kata orang ‘apa saja peluang yang ada beliau akan jual demi membantu kehidupannya’.

    Dayang Nur Nizaha ketika menerima Anugerah ‘Most Rapid Growth Entrepreneur 2017’ di Bangkok, Thailand.
    Dayang Nur Nizaha merupakan pengusaha tempatan ‘Jamu no 1 Brunei’.

    Sehinggalah pada satu ketika, beliau teringat bahawa dirinya mempunyai bakat sebagai terapi perubatan alternatif. Beliau mewarisi bakat tersebut daripada neneknya yang juga merupakan seorang bidan di kampung. Dari sanalah beliau mula mengikuti perkembangan aktiviti harian neneknya.

    Daripada menjual produk kesihatan, Dayang Nur Nizaha juga pernah menghadiri mesyuarat dan kelas tambahan untuk menambah ilmu di Sabah dan Sarawak. Dari sana, beliau perlahan-lahan memulakan perkhidmatan Postnatal dan mengurut, lulur, mandi bunga, bertangas, bersauna serta perkhidmatan dari rumah ke rumah.

    Selain itu, beliau juga menambah serta mempelbagaikan lagi produknya seperti produk Jamu Kunyit Dara, Jus Delima, Jus Halia, Mandian Garam Aromaterapi dan lapan jenis Lulur yang kini mendapat sambutan yang menggalakkan.

    Pada masa ini, beliau telah mempunyai syarikat sendiri, Zahra Callista yang sudah hampir tiga bulan beroperasi di Kompleks Jerudong dan mempunyai hampir 45 jenis produk.

    Pada kesempatan ini, beliau ingin mengucapkan setinggi terima kasih kepada pihak kerajaan, bersama sokongan dari DARe dan beberapa kementerian lain yang banyak membantunya sehingga ke tahap ini.

    “Proses demi proses saya lalui dengan sabar dan alhamdulilah, kini sudah sampai ke tahap ini. Perlahan- lahan saya cuba perbetulkan satu persatu permasalahan dan sistem serta kerjasama daripada kerja berkumpulan.

    “Semangat berkumpulan amat memberikan saya kekuatan untuk meneruskan perjuangan ini. Misi kami hanyalah untuk membantu para wanita bangkit dengan semangat yang baru dan ilmu baru dalam dunia perniagaan dan menjadikan hidup lebih bermakna,” jelasnya dengan penuh semangat.

    Sebagai seorang usahawanan yang berjaya dan menjadi contoh kepada para wanita di luar sana, beliau menasihati usahawan di negara ini mahupun yang ingin menceburi diri dalam bidang keusahawanan agar sentiasa bersedia untuk belajar dan meningkatkan ilmu kerana pengalaman sahaja tidak mencukupi.

    Beliau menyarankan para pengusaha agar terus tegar dan tabah menghadapi cabaran dan dugaan kerana tidak ada jalan mudah untuk berjaya.

    “Para pengusaha atau yang baru perlu belajar daripada mentor-mentor yang sudah berjaya dan jadikan mereka sebagai satu inspirasi untuk sama-sama berjaya.

    “Jangan pernah merasa selesa dengan apa yang ada, sentiasa menambah ilmu yang baru kerana ilmu perniagaan sentiasa ada perubahan dan ia akan memberikan kita satu garis panduan untuk lebih bersedia menempuhi cabaran,” katanya lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda