Oleh Rokiah Mahmud
Ekspo ASEAN China (CAEXPO) ke-16 menyaksikan para usahawan bukan sahaja datang dari China tetapi 10 buah negara ASEAN juga mengambil ke-sempatan untuk memanfaatkan peluang perniagaan, perbincangan dalam pelaburan, mencari pengedar tempatan dengan berjumpa pembeli baharu yang berpotensi dan mengembangkan perniagaan di negara serantau atau peringkat antarabangsa.
Walaupun Pusat Persidangan dan Pameran Antarabangsa Nanning (NICEC) masih belum dibuka kepada umum tetapi ramai peserta pameran telah menjual produk sejak hari pertama pameran dibuka.
Memandangkan sambutan amat menggalakkan, beberapa peserta menawarkan harga terbaik di balai pameran masing-masing
CAEXPO dan Sidang Kemuncak Pelaburan dan Perniagaan China-ASEAN ke-16 membuka peluang perniagaan kepada semua lapisan masyarakat di China, ASEAN dan negara-negara yang lain.
Tahun 2019 pasti menandakan permulaan tahun untuk pelaksanaan Wawasan Perkongsian Strategik China 2030 dan Tahun China dan Pertukaran Media ASEAN.



CAEXPO membawa misi mengukuhkan hubungan mesra antara China dan ASEAN, mempercepatkan pembinaan CAFTA dan menggalakkan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam pelbagai bidang. Ia adalah acara tajaan kerajaan yang mendapat sokongan semua pihak dan menarik penyertaan perusahaan dari kedua-dua pihak.
Selain itu, ia juga memacu kerjasama ekonomi dan bidang-bidang lain serta pertukaran individu dengan pengaruh politik dan diplomatiknya yang hebat.
Bagi edisi tahun ini, tujuh syarikat Brunei telah dipilih untuk mewakili negara. Di Pavilion ‘City of Charm’ dua buah hotel terkemuka di Brunei, The Empire Hotel and Country Club dan Hotel Mulia mengambil bahagian dalam ekspo selama empat hari itu.
Semasa berada di Dewan Pavilion Komoditi D, syarikat dan usahawan Brunei menjual pelbagai produk. Penulis berkesempatan menemu bual beberapa usahawan yang mengambil bahagian di Dewan Pavilion Komoditi Brunei bagi mengetahui pandangan, pengalaman dan pemikiran mereka semasa menyertai ekspo selama empat hari berkenaan.
Pengarah Oudh Berjaya, Kenny menjelaskan bahawa penyertaan pertama di CAEXPO sangat mengujakan kerana ramai pengunjung datang ke tempat mereka.
“Kami menjual produk gaharu yang terdiri daripada bentuk serbuk, cip kayu dan bentuk gelang. Kami mempelbagaikan produk ke dalam kategori berbeza berdasarkan kualiti.
“Kualiti biasa adalah yang tidak tenggelam ke dalam air dan kualiti yang lebih tinggi adalah jenis kayu gaharu yang tenggelam dan mahal.
“Setakat ini kami telah mempromosikan produk kayu gaharu kepada syarikat-syarikat yang berada di Brunei dan kebanyakannya dari China dan Arab. Mereka adalah pembeli utama kami,” tambahnya
Walaupun pasaran kayu gaharu berpotensi untuk berkembang lebih luas di China namun beliau berharap mereka juga berusaha untuk meneroka pasaran baharu.
Penulis juga menemu bual wakil dari Junjung kerana ia juga pengalaman pertama mereka sebagai peserta pameran di Pavilion Brunei. Penolong Pengurus Besar Junjung, Ummi Maryam, menjelaskan bahawa ia adalah di luar jangkaan mereka melihat bagaimana ekspo itu semesti-nya menyediakan platform untuk usahawan dalam menjual dan memasarkan produk mereka.
Sejak hari pertama pameran itu dibuka, balai pameran mereka telah menerima sambutan yang luar biasa bukan sahaja daripada orang China itu sendiri, tetapi pengunjung yang datang dari negara-negara lain membeli kek dan kuih mereka.
“Kami berharap ekspo ini akan menjadi perantara untuk mempromosikan produk kami dalam skala yang lebih besar. Kami masih belum memasuki pasaran China tetapi kami tidak sabar menantinya.
“Setakat ini, kami mempunyai kedai pop-up di KLCC dan Four Seasons, dan kami sedang mencari para pemegang francais serta pengedar untuk memperluaskan lagi jenama kami sebagai jenama antarabangsa,” jelasnya.
Mereka juga memberitahu bahawa kebanyakan pelancong dari China sudah mengetahui mengenai produk mereka semasa lawatan mereka ke Brunei.
“Kami telah mendedahkan produk kami kepada pelancong China di Brunei di kedai sedia ada kami di Dewan Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei,” tambahnya.
Pada dasarnya, mereka mengambil kesempatan untuk mempelajari pasaran CAEXPO dan menawarkan produk mereka kepada bukan sahaja penduduk China tetapi para peserta yang turut serta dalam CAEXPO tersebut.
“Kami masih mempelajari pasaran CAEXPO. Walaupun kami mengalami halangan bahasa seperti kadang-kadang berasa sukar untuk menyatakan apa yang ingin kami sampaikan, tetapi ia tidak menghalang kami untuk berkomunikasi dan mempromosikan produk kami kepada pembeli di China dan kami mendapat maklum balas bahawa mereka benar-benar menyukai produk kami di sini.”
Dalam tempoh empat hari CAEXPO, Junjung turut menjual produk mereka, kotak kek lapis yang mengandungi 12 keping dan empat jenis biskut mereka yang terkenal termasuk Chocolate Chips, Coffee Crispy, Tart Nanas dan Kuih Mor.
CAEXPO pasti membuka peluang kepada setiap usahawan Brunei. Melalui ekspo ini, ia menawarkan potensi besar untuk mendedahkan produk tempatan dalam skala yang lebih besar dan untuk mengeksport produk.
Peluang besar yang telah dicapai hasil kerjasama dua hala dan persefahaman yang telah berkembang selama bertahun-tahun antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Republik Rakyat China.
Guangxi mewujudkan kerjasama antara China dan negara-negara ASEAN kerana ia juga membina koridor antarabangsa, menubuhkan platform terbuka, memperkukuhkan kerjasama dalam kapasiti pengeluaran, dan mengoptimumkan persekitaran perniagaan dalam menyokong perusahaan swasta yang berkembang di Guangxi.
Dalam pada itu, Guangxi akan bekerjasama dengan usahawan China dan ASEAN untuk mewujudkan masa depan yang Berjaya.