Memegang kepada peribahasa “Hati hendak, semua jadi”, Megat Azim Jamil, 42, berjaya membuktikan bahawa kejayaan itu bukan mustahil untuk digenggam jika seseorang itu bertekad dan berusaha gigih.
Bermula dengan menjual susu segar pada tahun 2012 yang diperolehi daripada seekor lembu tenusu, beliau kini mempunyai lebih 20 ekor lembu baka Australian Jersey Friesian yang dibela di ladang seluas kira-kira 1.2 hektar di Semenyih, Selangor.
“Jika diimbau kembali, saya sendiri tidak sangka akan berjaya hingga ke tahap ini. Dengan berbekalkan modal awal RM7,000 untuk membeli Jasmin, iaitu lembu pertama saya, saya mula berniaga susu segar berperisa dalam botol dengan bantuan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS) di sekitar Selangor.
“Dari perniagaan susu segar inilah juga saya mula nampak sebenarnya orang ramai juga cukup meminati produk aiskrim daripada lembu tenusu.
Jadi saya lihat adanya potensi besar dan akhirnya saya bertekad untuk menubuhkan MUULK Holdings Sdn Bhd dan MUULK Artisan Dairy dan saya pemilik tunggal.
“MUULK itu adalah singkatan daripada MUU (bunyi lembu) dan MILK, “ katanya kepada Bernama ketika ditemu bual baru-baru ini dan menambah pada mulanya beliau ingin mendaftar nama MOOLK, namun nama itu sudah didaftar terlebih dahulu di Australia.
Beliau yang mempunyai ijazah dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dari Universiti Petronas Malaysia mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan semasa di universiti lagi iaitu mendapat kontrak kecil antaranya membuat reka bentuk serta pemasangan rangkaian wifi di beberapa cawangan UiTM.
PENGELUARAN AISKRIM MUULK
Mengenai penghasilan aiskrim MUULK, Megat Azim berkata, aiskrim artisan premium itu mula dipasarkan oleh MUULK Artisan Dairy pada tahun 2019 dan menurut beliau, ia semakin mendapat perhatian penggemar pemanis mulut di sekitar Lembah Klang khususnya, kerana mengetengahkan keenakan rasa susu segar tempatan.
Lebih menarik lagi, produk aiskrim MUULK bukan sahaja boleh dibeli menerusi platform dalam talian, malah turut dijual di dalam peti sejuk beku khas yang ditempatkan di
14 tempat tumpuan orang ramai untuk beriadah bersama keluarga di sekitar Lembah Klang.
Antara lokasi peti sejuk beku khas MUULK termasuk di Taman Tugu Forest Trail, G2G Animal Garden dan Saville Agri Wonderland iaitu di sekitar Lembah Klang. Ia juga dipasarkan di Nilai, Negeri Sembilan serta Kuala Terengganu, Terengganu.
Bercerita lebih lanjut mengenai produk aiskrim yang dihasilkan, Megat Azim berkata, beliau banyak belajar daripada ramai kenalan cef dan pengusaha aiskrim yang lain.
DVS juga banyak membantunya menuntut ilmu pembuatan aiskrim dengan pakar produk tenusu di seluruh pelosok negara.
Berbekalkan ilmu yang ada, beliau melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk sendiri sehingga berjaya menghasilkan tujuh perisa aiskrim. Antara produk aiskrim terlaris dan sering menjadi tumpuan pembeli ialah Callebaut Belgian Chocolate, Starbucks Dark Roast, Oreos & Cream, serta Butter Pecan.
“Sekarang saya dalam proses menambah perisa baharu kerana ada perisa sedia ada turut terkena tempias boikot susulan konflik Palestin-Israel,” tambahnya.
Dijual pada harga berpatutan iaitu RM8 bagi cawan bersaiz 100ml dan RM29 untuk cawan bersaiz 473ml, kini, secara purata MUULK menjual antara 10,000 dan 20,000 kotak aiskrim setiap bulan.
TIDAK PERNAH PUTUS ASA
Hakikatnya, bidang yang diceburi oleh Megat Azim ini jauh berbeza dengan bidang pengajian ICTnya.
“Ahli keluarga saya pada asalnya memang agak menentang keputusan saya ini kerana memikirkan banyak risiko untuk menjadi usahawan, dan mereka mahu saya saya bekerja dalam bidang ICT.
“Namun takdir menentukan dan kini saya tidak menoleh ke belakang lagi. Saya sentiasa berusaha tingkatkan ilmu dan kaedah terbaik terhadap penjagaan haiwan ternakan lebih-lebih lagi lembu tenusu memandangkan ianya haiwan yang cukup sensitif
dengan sebarang perubahan persekitaran,” katanya.
Beliau menambah, bukan mudah untuk menjaga ternakan lembu kerana ia memerlukan komitmen yang cukup tinggi terutama demi memastikan kesihatan haiwan berkenaan terjamin daripada sebarang jangkitan penyakit.
Megat Azim berkongsi bahawa beliau pernah kerugian puluhan ribu ringgit akibat tujuh ekor lembunya mati diserang penyakit berjangkit dalam tempoh tahun 2012 hingga tahun 2015.
Rutin hariannya bermula sebelum subuh, iaitu membangunkan lembu dari tidur bagi memastikan semua lembu sihat dan cergas, sebelum kesemuanya dimandikan.
Semua lembu juga akan diberikan makanan tambahan bernutrisi dan palet vitamin terlebih dahulu sebelum dimasukkan mengikut giliran ke tempat pemerahan susu khas, dan seterusnya baru diberi makan rumput dan jerami padi sementara pekerja yang lain akan membersihkan kembali tempat berehat lembu dari sebarang tinja bagi memberi keselesaan kepada mereka.
Menurut beliau, sekiranya lembu berada dalam keadaan sihat, barulah ianya boleh menghasilkan susu segar yang baik dan berkualiti tinggi.
Susu lembu diperah menggunakan mesin perahan khas dan membolehkan produk aiskrim yang diproses nanti juga terjamin kelazatannya. – Bernama