Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usahawan teroka pasaran antarabangsa

    MARANG – Sokongan dan bantuan daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan yang diterima ternyata memberi peluang kepada pengusaha keropok keping jenama Tok Yam, Hawa Abd Rahman, untuk mengembangkan perniagaan dan meluaskan pasarannya.

    Hawa, 60, berkata beliau bertuah kerana berkat sokongan dan bantuan itu, produknya mampu berada di ‘awan biru’ setelah berjaya berada dalam senarai makanan yang dijual syarikat penerbangan antarabangsa selain mampu menembusi pasaran luar negara seperti Brunei, Singapura, Jepun dan China.

    “Antara yang paling banyak membantu ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana sentiasa menyediakan ruang dan peluang untuk kami mempromosikan produk di seluruh Malaysia.

    “Bermula pada 2018, KPDNHEP membawa usahawan menjelajah ke pusat beli-belah terkenal di seluruh negara seperti The Curve dan Subang Parade di ibu negara, melalui Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Program Citarasa Malaysia yang menjadi titik tolak untuk produk kami menembusi pasar raya besar,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

    Hawa berkata program yang dianjurkan oleh KPDNHEP selama ini banyak membantu syarikatnya untuk memperkenalkan produk secara terus kepada pembeli dengan memberi usahawan peluang menerangkan keistimewaan produk tersebut.

    “Melalui kempen dan program itu, kita lebih dekat dengan prospek dan boleh menceritakan tentang khasiat keropok ikan sebagai snek yang sihat selain menonjolkan aspek kebersihan dan keselamatan makanan yang menjadi prosedur operasi standard
    (SOP) wajib diamalkan di kilang syarikat.

    “Setiap kali mengikuti kempen KPDNHEP ini, kami tidak pulang dengan ‘tangan kosong’, purata jualan ialah antara RM7,000 hingga RM8,000 dan paling mengujakan apabila kami telah mendapat kepercayaan daripada enam syarikat yang mahu mengeluarkan keropok keping jenama sendiri melalui kilang kami di Bukit Kor, Marang, Terengganu, Malaysia,” katanya.

    Ibu kepada empat anak ini berkata beliau sentiasa mendapat bimbingan keusahawanan daripada KPDNHEP terutama dari aspek pembungkusan dan pelabelan kerana mahu ia mampu bersaing di pasaran global setanding produk antarabangsa yang lain.

    “Nasihat saya kepada usahawan baharu agar sentiasa berdamping erat dengan jabatan dan agensi kerajaan seperti KPDNHEP kerana banyak peluang tersedia untuk kita meneroka lebih jauh sekali gus mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak tempatan. – Bernama

    Ketua Pegawai Eksekutif Hamie Food Industries Sdn Bhd, Hawa Abd Rahman (dua, kanan) memantau proses pembungkusan produk keropok keping jenama Tok Yam yang dilakukan di kilangnya di Entrepreneur Park, Bukit Kor. –Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda