Usain Bolt sahkan sertai Olahraga Dunia 2017

LONDON, 20 Julai – Jaguh pecut Usain Bolt mengesahkan bakal menyertai acara larian 100 dan 4×100 meter lari berganti-ganti pada Kejohanan Olahraga Dunia 2017 yang dijadualkan berlangsung mulai 4 hingga 13 Ogos.

Berasal dari Jamaica, beliau yang juga juara Olimpik dan dunia turut mengumumkan hasratnya bersara selepas kejohanan di London itu.

Menurut agensi berita China Xinhua, acara 100 meter lelaki akan berlangsung pada 5 Ogos manakala 4×100 meter pula pada 12 Ogos.

“Matlamat saya untuk menang di London, kemenangan itu akan mengiringi persaraan saya,” kata Bolt yang kini berusia 30 tahun.

Bulan lepas, Bolt melakar kejayaan dengan memenangi acara larian dalam perlumbaan Grand Prix Racers yang diadakan di negara kelahirannya, dengan catatan masa 10.03 saat.

Sebelum ini, beliau pernah memenangi pingat emas acara 100, 200 dan 4×100 meter pada tiga Sukan Olimpik iaitu Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.

Namun, beliau terpaksa akur apabila pingat emas 4×100 meter yang dimenangi di Beijing 2008 terpaksa dilepaskan selepas rakan sepasukannya Nesta Carter gagal ujian dadah. – Bernama