PORT DICKSON – Jantina dan usia bukan penghalang bagi golongan ibu untuk mempelajari seni mempertahankan diri Muay Thai yang selama ini dilihat hanya didominasi golongan lelaki.
Ibu kepada lima orang anak, Lew Siew Kuang, 52, berkata sukan itu yang telah diceburinya sejak Ogos lalu, memberi manfaat kepada dirinya terutama dalam meningkatkan stamina dan menjadikan tubuh badan lebih sihat dan bertenaga.
“Di awal penglibatan saya dalam Muay Thai, tidak dinafikan memang ada rasa takut selain berpandangan bahawa sukan ini agak susah dan lasak apatah lagi dengan usia saya yang sudah mencecah 50an tetapi setelah beberapa kali cuba berlatih ia menjadi mudah dan tidak sesukar seperti yang digambarkan selama ini,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat Neo Fitness di sini.
Tambah Lew yang merupakan suri rumah sepenuh masa, sejak mengikuti kelas Muay Thai ini, kakinya yang dahulu sakit kini semakin pulih bahkan membuatkan kakinya lebih kuat.
“Sebelum ini saya ada sakit lutut dan badan tidak berapa cergas. Bagaimanapun, setelah mempelajari sukan ini ia menjadikan saya lebih bertenaga serta menguatkan lagi kaki dan tangan saya,” katanya.

– Bernama



Pelbagai peringkat umur
Lew berkata ternyata seni mempertahankan diri Muay Thai ini bukan hanya boleh diceburi golongan muda dan lelaki sahaja tetapi setiap orang dari pelbagai peringkat usia boleh menyertai dan mempelajarinya yang ternyata memberi kecergasan serta mengekalkan kesihatan tubuh badan.
“Sertai kelas Muay Thai bukan semata-mata untuk berlawan, tetapi bagi kami kaum ibu ia lebih kepada untuk meningkatkan tahap kesihatan diri,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi suri rumah, Neow Cheng Hoon, 52, berkata antara sebab beliau menyertai kelas Muay Thai ini adalah sebagai usaha untuk menurunkan berat badan di samping meningkatkan kecergasan diri.
“Saya sudah berusia dan perlu bersenam untuk menurunkan berat badan… Saya baharu sahaja menyertai kelas ini dua hari lepas dan sememangnya Muay Thai ini sangat bagus kerana dapat mengeluarkan peluh yang banyak serta menggerakkan otot setiap bahagian tubuh,” katanya.
Peniaga, Nur Farhana Mohd Farid, 26, berkata ramai masyarakat di luar sana agak stereotaip terhadap sukan Muay Thai ini yang beranggapan ia bersifat ganas sehingga menimbulkan perasaan takut bagi golongan wanita untuk menceburi aktiviti ini.
Seni mempertahankan diri
“Sebenarnya sukan ini lebih kepada untuk mempertahankan diri, menurunkan berat badan serta menjadikan kita lebih sihat dan cergas. Ia bukan khusus untuk lelaki sahaja tetapi untuk semua lapisan seperti kanak-kanak, remaja dan golongan tua.
“Menerusi kelas Muay Thai ini, saya mempelajari teknik mempertahankan diri bagi setiap serangan balas oleh pihak lawan sebagai contoh kalau ada seseorang yang cuba memegang dan cekik diri kita, saya sudah tahu cara untuk melepaskan diri dengan menggunakan teknik yang dipelajari,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Neo Fitness Mohd Daniel Hezaq Ruszi berkata beliau kini sedang membina kesedaran kepada masyarakat terutama anak muda di Port Dickson berkenaan manfaat sukan Muay Thai ini.
“Ia merupakan cabaran bagi pihak kami untuk memberi didikan kepada anak-anak muda tentang ‘fitness’ dan kesihatan. Mengenai soal masyarakat, pemikiran mereka masih menyatakan sukan ini adalah lasak dan ganas apatah lagi ia sering dipertandingkan di gelanggang.
“Kita mahu memberi kesedaran kepada mereka bahawa Muay Thai bukan hanya untuk mempertahankan diri tetapi lebih kepada membantu menjadi lebih sihat dan menurunkan berat badan.
Katanya, kelas Muay Thai yang dibuka sejak awal 1 Januari tahun ini telah menerima kira-kira lebih 100 orang peserta wanita.
“Sebelum ini pada tahun 2017 kita sudah buka tetapi hanya fokus kepada atlet sahaja yang dikenali sebagai Kiroro Akademi tetapi pada 1 Januari lepas ia sudah dijenamakan semula menjadi Neo Fitness. Di pusat ini, kita ada Muay Thai dan kelas ‘Fitness’ yang fokus kepada kurangkan berat badan dan masalah kesihatan seperti sakit belakang dan sebagainya.
“Secara kebiasaan wanita memang ambil berat tentang kesihatan dan ingin menjadi lebih cantik. Ramai wanita yang sertai di mana satu kelas itu boleh memuatkan seramai 10 hingga 15 orang,” katanya.
Mohd Daniel Hezaq berkata antara atlet wanita di bawah akademinya yang telah menempa nama di peringkat kebangsaan adalah Juara Kebangsaan Muay Thai Peringkat Kebangsaan kategori 34 kilogram iatu Dinar Fitrah Yusrafizan yang baharu berusia 10 tahun dan atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Negeri Sembilan 2019 Fatin Nabilah Arlis, 17 tahun. – Bernama