Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usik-mengusik tarik pelanggan di Pasar Payang

    KUALA TERENGGANU – “Sayang nak kuih apa sayang, pilih sendiri sayang, semuanya sedap belaka ni sayang. Nak dua riyal (RM2) ke lima riyal”.

    Itu antara dialog dan usikan popular jika mengunjungi gerai kuih-muih di Pasar Besar Kedai Payang (Pasar Payang) milik Ibrahim Jusoh, 65, atau lebih dikenali pengunjung sebagai ‘Abang Sayang’.

    Beliau yang menjual lebih 50 jenis kuih setiap hari termasuk pada bulan Ramadan ketika ini menjadi tumpuan utama pengunjung untuk membeli terutama kuih tradisional dengan harga yang sangat murah berbanding tempat lain.

    Di bahagian pasar basah pula, sapaan peniaga yang memujuk pengunjung untuk membeli sotong, udang, ketam, ikan, ayam dan daging terus kedengaran seperti biasa.

    Begitu juga dengan jualan di tingkat atas yang menempatkan puluhan kedai songket, sutera, batik dan barang-barang cenderahati, pengunjung yang lalu-lalang terus disapa mesra dengan tawaran istimewa Ramadan.

    Ibrahim Jusoh, 65, atau lebih dikenali sebagai Abang Sayang mula berniaga kuih sejak 1960an ketika ditemui di Pasar Besar Kedai Payang baru-baru ini. Ibrahim menjual lebih 50 jenis kuih setiap hari termasuk Ramadan ketika ini menjadi tumpuan utama pengunjung untuk membeli terutama kuih tradisional dengan harga yang sangat murah berbanding tempat lain. –Bernama
    Sipit Ismail, 77, berniaga pelbagai jenis keropok kering sejak 50 tahun lalu bermula dari tapak Pasar Tanjung di Shahbandar sebelum berpindah ke Pasar Besar Kedai Payang ketika ditemui baru-baru ini. Ramadan tahun ini bakal menjadi Ramadan terakhir untuk pasar itu ‘bernafas’ sebelum ia dirobohkan untuk laluan pembangunan semula dengan imej yang lebih moden dan segar. –Bernama
    Asri Zakaria, 50, menjual pelbagai hasil laut seperti ikan dan sotong sejak 30 tahun lalu di Pasar Besar Kedai Payang. – Bernama
    Wan Mokhtar Mohamad, 67, yang menjalankan perniagaan batik asli Terengganu sejak 47 tahun lalu ketika ditemui Pasar Besar Kedai Payang baru-baru ini. – Bernama

    Walaupun Ramadan 2019 bakal menjadi Ramadan terakhir untuk pasar itu ‘bernafas’ sebelum ia distrukturkan semula untuk laluan pembangunan dengan imej yang lebih moden dan segar, jumlah kedatangan pengunjung pada saat-saat akhir ini terus bertambah.

    Tinjauan Bernama di pasar yang berusia 51 tahun itu mendapati suasana tetap sibuk dan meriah sepanjang hari terutama Jumaat hingga Ahad apabila anak perantau yang pulang ke Terengganu mengambil kesempatan untuk ke Pasar Payang dengan bermacam tujuan.

    Laluan masuk ke Pasar Payang masih sesak dengan kenderaan pengunjung yang datang seolah-olah tiada apa yang akan berlaku dengan pasar yang menjadi nadi ekonomi masyarakat Melayu di Terengganu itu.

    Seorang pengunjung, Sukmawati Salim, 47, berkata Pasar Payang sangat dekat dengan dirinya kerana ia adalah tempat kegemaran kedua-dua ibu bapanya membeli-belah pelbagai barang sejak dirinya masih kecil.

    “Tak sangka Ramadan kali ini adalah Ramadan terakhir untuk saya melihat suasana jual beli yang unik dan istimewa di pasar ini. Memanglah akan ada bangunan pasar yang lebih canggih dan moden, namun tidak akan sama dengan apa yang ada ketika ini.

    “Pada hari-hari terakhir Pasar Payang ini, saya lebih kerap datang untuk membeli pelbagai barang keperluan kerana mahu ia menjadi kenangan manis untuk saya abadikan,” katanya yang sangat berbangga dengan kewujudan pasar itu sebagai destinasi pelancongan terkenal dalam dan luar negara.

    Seorang kakitangan swasta, Azman Razali, 48, berkata sepanjang berada di Pasar Payang, tidak terasa seolah-olah Ramadan ini adalah bulan terakhir bangunan itu beroperasi sebelum projek naik taraf dimulakan selepas Aidilfitri nanti.

    “Mungkin sebab peniaga masih sibuk, stok barang masih banyak, malah pengunjung semakin bertambah ramai, jadi suasana jual beli itu makin meriah pada minggu pertama Ramadan ini.

    “Saya rasa suasana sayu itu hanya akan terasa menjelang minggu terakhir Ramadan nanti kerana suka atau tidak, semua peniaga pasti akan mula mengosongkan gerai mereka untuk berpindah ke Pasar Payang 2 sebagai tempat baharu mereka mencari rezeki sementara pasar ini siap dinaik taraf,” katanya yang tinggal di Kuala Lumpur dan pulang ke Kuala Terengganu setiap minggu untuk menziarahi ibunya.

    Seorang peniaga, Nur Idura Abdul Aziz, 38, dari Serdang, Selangor, pula sanggup datang ke Terengganu semata-mata mahu melihat sendiri Pasar Payang buat kali terakhir sebelum projek pembangunan semula pasar itu dilaksanakan selepas Aidilfitri nanti.

    “Saya lahir di Kelantan, jadi sering juga datang ke sini waktu kecil. Banyak kenangan ketika teman mama dan adik-beradik beli (kain) sutera, batik dan songket setiap kali nak sambut raya.

    “Bila dengar Pasar Payang sedia ada ini nak dirobohkan untuk projek naik taraf, saya terus ajak suami datang ke Terengganu kerana inilah Ramadan terakhir saya akan membeli-belah di Pasar Payang. Saya nak rakam video dan foto banyak-banyak untuk kenangan,” katanya.

    Pasar Payang dirasmikan Sultan Terengganu ke-16 iaitu Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada  31 Ogos, 1968 yang ketika itu adalah Yang di-Pertuan Agong keempat.

    Nama Pasar Payang diambil sempena ‘perahu payang’ yang sering digunakan nelayan sejak awal proses perdagangan di negeri ini dan pada awalnya ia hanyalah gerai kecil berasaskan kayu sebelum dinaiktarafkan pada 1968.

    Apabila projek naik taraf siap kelak, Pasar Payang akan terus menjadi pusat aktiviti ekonomi lebih 500 usahawan kecil di Kuala Terengganu selain destinasi pelancongan yang mempunyai tarikan tersendiri negeri ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda