Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usop sifatkan pempengaruh perosak industri muzik

    Penyanyi Malaysia, Usop meluahkan rasa kecewa terhadap industri muzik Malaysia apabila terdapat beberapa pihak mengangkat pempengaruh media sosial yang menceburi bidang tersebut.

    Memetik dari mStar, Usop atau Muhamad Saiful Naim Mohd Noor, 25, berkata, ia tidak adil memandangkan dia sendiri tidak melalui jalan mudah bergelar penyanyi.

    “Sekarang senang nak naik (jadi artis). Dulu saya pergi uji bakat. Pukul 6 pagi pergi, habis pukul 2 pagi esoknya. Penat.

    “Tapi, kita boleh tengok macam mana kualiti artis. Kita ini artis dari program realiti boleh bandingkan dengan artis sosial media,” katanya.

    Usop berkata demikian ketika ditemui mStar pada tayangan perdana filem Mat Kola di Tropicana Garden, Kota Damansara baru-baru ini.

    Mengakui bahawa tidak tergugat dengan artis yang asalnya dari pempengaruh, Usop merasakan perkara tersebut adalah tidak adil kepada penyanyi-penyanyi yang sebelum ini mengharungi pelbagai cabaran untuk meningkat naik.

    Dia turut merasakan bahawa sesetengah lagu yang dinyanyikan oleh pempengaruh boleh merosakkan industri muzik Malaysia.

    “Saya tak rasa tergugat, saya rasa tak adil. Kenapa industri Malaysia macam ini? Kadang-kadang keluar lagu merepek-repek. Apa ini? Nak rosakkan industri muzik Malaysia ke?

    “Penyanyi dulu nak jadi penyanyi sangat susah. Kena keluarkan lagu yang sedap. Tapi kenapa lagu sekarang (yang pelik) naik.

    “Sekarang ini kalau jumlah tontonan daripada TikTok tinggi, dekat platform lain semua akan tinggi. Semua radio akan panggil, tapi kenapa radio panggil?” soalnya.

    Usop juga menegaskan bahawa dirinya tidak akan sekali-kali berduet sekiranya terdapat pempengaruh mengajaknya untuk berkolaborasi.

    “Saya cakap jujur, saya taknak. saya memang tidak akan duet sebab saya jenis orang yang memilih lagu,” katanya.

    Penyanyi itu berharap agar persaingan sihat diwujudkan agar bakat yang sebenar dapat diangkat dan dinilai selayaknya.

    “Harapan saya kalau boleh industri muzik Malaysia ini kena ada satu platform untuk artis dan pempengaruh untuk sama-sama bertanding bakat masing-masing.

    Untuk info, Usop merupakan antara pelakon yang membintangi filem Mat Kola selain Rozita Che Wan, Ropie Cecupak, Taiyuddin Bakar serta ramai lagi.

    Filem pertama arahan Hafiz Nafiah ini telah ditayangkan di pawagam tempatan bermula 21 September 2023. – Agensi

    Usop akui bahawa bukan mudah untuk dirinya menempa nama dalam industri. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda