BANGKOK, 27 Feb – Penghantaran kapal pengangkut pesawat USS Carl Vinson ke Laut China Selatan, tidak sampai sebulan selepas Presiden Donald Trump mengambil alih jawatan itu memberi isyarat Amerika Syarikat (AS) bersedia menonjolkan kehadiran lebih aktif angkatan tentera lautnya di rantau itu.
Pentagon berkata, Carl Vinson, diiringi jet pemusnah peluru berpandu dan pesawat, memulakan ‘operasi rutin’ di Laut China Selatan sejak 18 Februari lalu.
Ia kali terakhir dikerah ke Pasifik Barat pada 2015 apabila menjalankan satu latihan bersama tentera laut dan udara Malaysia.
Seorang pegawai pentadbiran itu bagaimanapun enggan mengulas jika Carl Vinson akan menjalankan operasi kebebasan pelayaran, namun mengakui individu kanan pentadbiran itu bercakap mengenai kepentingan menegaskan hak melakukannya dan menjangka ia dilakukan secara kerap oleh kapal laut AS.
Di bawah pentadbiran bekas Presiden Barack Obama, Tentera Laut AS secara berkala belayar ke jajahan bertelingkah dalam operasi kebebasan pelayaran di Laut China Selatan, namun berdepan gesaan meningkatkannya sebagai tindak balas kempen pembinaan dan tambakan besar-besaran China di tujuh pulau buatannya. – AP