Friday, July 5, 2024
29.6 C
Brunei

    -

    Ustaz Don Daniyal direhatkan terus

    Baru sahaja kembali bersiaran, penceramah bebas Ustaz Don Daniyal sekali lagi direhatkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

    Ini susulan kontroversi tular mendakwa Don atau Don Daniyal Don Biyajid, 40, mengeluarkan kenyataan mengelirukan tanpa sokongan dalil sah semasa bersiaran secara langsung pada malam Khamis.

    Mengesahkan mengenai penamatan tugas penceramah bebas itu, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia iaitu Datuk Suhaimi Sulaiman memberitahu pihaknya sudah berbincang dan memaklumkan kepada Don sendiri.

    “Saya sudah bercakap dengan dia (Don) pagi tadi (Jumaat). Dia tahu ada penonton marah dan dia terima keputusan ini dengan hati terbuka,” katanya ketika dihubungi mStar.

    Sebelum itu, Suhaimi berkongsi mengenai perkara itu di laman X.

    Dalam status ditulisnya itu, Suhaimi berkata Don telah diberi peluang untuk memperbetulkan keadaan selepas tular sebelum ini namun sekali lagi mengulangi kontroversi sama.

    “Bila dah beri peluang, dan berbincang dengan pihak berkuasa dan ahli agama, sudah ingatkan apa yang boleh dan apa yang tidak, kenalah pandai ambil perhatian daripada penonton.

    “Maaf kerana terpaksa rehatkan awak,” jelasnya.

    Sementara itu, Suhaimi memaklumkan rancangan tersebut masih berbaki empat episod dan akan diteruskan seperti biasa dengan dikendalikan oleh tiga lagi pengacara jemputan lain. – Agensi

    Don tidak lagi bersiaran sebagai pengacara Salam Baitullah. – Kosmo Digital
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Waktu sarapan McDonald’s Australia dipendekkan

    SYDNEY, 4 JULAI – Rangkaian makanan segera McDonald’s di Australia telah memendekkan waktu perkhidmatan sarapan akibat kekurangan bekalan telur berikutan wabak selesema burung yang...