Saturday, May 10, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usul Brexit May akhirnya raih sokongan

    LONDON, 30 Jan – Beberapa hari selepas berdepan saat paling memalukan dalam sejarah politik British, Perdana Menteri Theresa May akhirnya semakin hampir mencapai satu keputusan yang memberangsangkan berhubung usul membabitkan perjanjian Brexit kelmarin, lapor agensi berita China Xinhua.

    Dengan undian sebanyak 317 berbanding 301, anggota parlimen di Dewan Rakyat British memberikan sokongan mereka kepada usul May yang sebelum ini ditolak pada awal Januari, dengan syarat perubahan dilakukan dalam isu membabitkan sempadan Ireland.

    Majoriti 16 undi yang memihak kepada usulnya memberi mandat kepada May untuk kembali ke Brussels bagi memulakan semula rundingan, dan menunjukkan bahawa perjanjian Brexit mungkin memenangi undi terakhir yang kritikal di parlimen British jika perubahan dilakukan dalam isu sempadan Ireland.

    Kemenangan yang memihak kepada kerajaan minoriti May terjamin selepas Parti Kesatuan Demokratik Ireland Utara (DUP) menyokong usul itu kelmarin malam.

    Sejurus selepas keputusan undian diumumkan, May berkata dua minggu lepas anggota parlimen menolak Perjanjian Pengunduran Brexit apabila hanya 202 mengundi untuk menyokong.

    Theresa May ketika menjawab soalan yang diajukan semasa perbincangan di Dewan Rakyat, London, kelmarin. – AP

    “Malam ini, keputusan majoriti telah menyatakan bahawa mereka akan menyokong perjanjian itu dengan syarat perubahan dilakukan dalam isu sempadan Ireland.

    “Adalah jelas kini bahawa terdapat cara yang boleh menjamin majoriti besar dan mampan untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) dengan satu perjanjian,” kata beliau yang kemudian disambut dengan sorakan kuat anggota parlimen Parti Konservatif.

    Anggota parlimen veteran Sir Graham Brady telah diangkat sebagai wira kerana bertindak memasukkan syarat tambahan penting ke dalam perjanjian Brexit May yang sebelum ini ditolak.

    Ia menyatakan perjanjian itu mensyaratkan agar ‘backstop’ di Ireland Utara digantikan dengan struktur alternatif bagi mengelakkan kewujudan sempadan keras.

    Ungkapan itu berjaya memenangi hati ahli politik DUP dan Parti Konservatif yang sebelum ini lantang menentang kewujudan ‘backstop’ kerana bimbang ia akan mengikat Britain secara kekal kepada EU.

    May berkata kerajaan British boleh melihat perubahan undang-undang yang mengikat secara sah dalam perjanjian pengunduran itu berhubung isu ‘backstop’, yang tidak membenarkan sempadan keras antara Ireland dan Ireland Utara.

    May dan para penasihat kanannya belum meraikan kejayaan mereka ketika ini memandangkan perkembangan di London mendapat reaksi dingin di Brussels dan Dublin.

    May mengakui bahawa untuk meyakinkan Brussels bukanlah satu perkara mudah.

    Beliau berkata “dengan perubahan dalam isu ‘backstop’, ditambah jaminan berkaitan hak-hak pekerja, adalah jelas kini terdapat cara untuk meluluskan perjanjian itu.”

    May berkata terdapat selera terhad bagi perubahan sedemikian dalam EU dan merundingkan perkara itu bukanlah mudah.

    “Bagaimanapun, anggota parlimen kini sudah memberikan isyarat yang jelas tentang apa yang mereka mahukan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda